Mendiang Puteri Diana dan Putera Charles di hari perkahwinan mereka, 40 tahun lalu. FOTO Getty Image.
Mendiang Puteri Diana dan Putera Charles di hari perkahwinan mereka, 40 tahun lalu. FOTO Getty Image.
Agensi

London: Ini mungkin akan menjadi kek yang paling mahal, tetapi tidak akan dimakan apabila sepotong sahaja boleh mencecah ribuan ringgit.

Ia merujuk kepada sepotong kek daripada majlis perkahwinan Putera Charles dan mendiang Puteri Diana pada 1981 yang akan dilelong pada 11 Ogos ini.

Seberat 793.79 gram, potongan kek itu daripada 23 kek yang dibuat khas ketika perkahwinan diraja berkenaan, menurut Dominic Winter Auctioneers (DWA) yang dilapor CNN.

Kek itu menampilkan lambang berwarna emas, merah, biru dan perak, ladam kuda perak dan semburan daun di samping beberapa lapisan hiasan ising putih.

Potongan kek itu diberikan kepada Moyra Smith yang bekerja di Clarence House bagi Ibu Permaisuri, menurut pelelong yang menambah ia kelihatan sama dengan satu daripada kek yang diberi kepada kakitangan istana.

Kek berusia 40 tahun itu berbalut plastik dan diletakkan dalam bekas tin kek lama dijual kepada DWA pada 2008 bagi pihak keluarga Smith.

"Keadaannya sama seperti dijual ketika diserahkan kepada DWA, tetapi kami menyarankan supaya ia tidak dimakan," menurut pelelong.

Pihak itu turut menjangkakan potongan kek itu akan terjual sekurang-kurangnya pada harga £200 (RM1,175.28).

Pengumuman berkenaan dibuat beberapa bulan selepas anak mendiang Puteri Diana bersetuju untuk meminjamkan gaun perkahwinan ibu mereka untuk pameran di Istana Kensington.

Kereta yang diberi Putera Charles kepada mendiang sebagai hadiah pertunangan juga dilelong baru-baru ini dengan nilai lebih £52,000 (RM305,573.84).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:30 AM