VAKSIN AstraZeneca. FOTO fail AFP
VAKSIN AstraZeneca. FOTO fail AFP
AFP

Geneva: Negara utama dalam Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca pada Isnin susulan kebimbangan mengenai pembekuan darah.

Ia meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa vaksin itu adalah selamat.

Penangguhan itu sehingga kajian semula terhadap penggunaan vaksin berkenaan.

EU dan WHO dijangka mengadakan mesyuarat khas minggu ini berhubung isu keselamatan vaksin itu.

Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan berkata, setakat ini, pihaknya masih menyarankan penggunaan vaksin AstraZeneca.

"Kami tidak mahu orang panik dan pada peringkat ini, menyarankan kepada negara untuk terus menggunakan vaksin AstraZeneca," katanya.

Beliau berkata, tiada bukti menunjukkan kaitan antara laporan mengenai pembekuan darah dengan penggunaan vaksin itu yang dilapor di beberapa negara.

Tiga negara terbesar dalam EU iaitu Jerman, Itali dan Perancis pada Isnin mengumumkan untuk menangguhkan penggunaan vaksin berkenaan.

Ia diikuti oleh Sepanyol, Portugal dan Slovenia.

Indonesia turut mengumumkan langkah sama.

Dalam pada itu, United Kingdom (UK) sudah melaksanakan pemvaksinan membabitkan 11 juta dos vaksin AstraZeneca - lebih banyak daripada jumlah keseluruhan di negara EU - tanpa apa-apa masalah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 9:20 AM