PEMBERIAN dos Pfizer-BioNTech kepada individu yang sudah menerima vaksin AstraZeneca lebih selamat dan berkesan.
PEMBERIAN dos Pfizer-BioNTech kepada individu yang sudah menerima vaksin AstraZeneca lebih selamat dan berkesan.
Agensi

Seoul: Kira-kira 760,000 rakyat Korea Selatan yang sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca akan ditawarkan vaksin Pfizer-BioNTech sebagai dos kedua.

Ia berikutan kelewatan penghantaran vaksin yang diperoleh melalui skim perkongsian vaksin global Covax.

Beberapa negara termasuk Kanada dan Sepanyol sudah bersetuju mencampurkan kedua-dua dos berkenaan susulan wujud kebimbangan mengenai pembekuan darah yang jarang dan berpotensi membawa maut dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca.

Channelnewsasia melaporkan berdasarkan kajian awal Sepanyol mendapati pemberian dos Pfizer-BioNTech kepada individu yang sudah menerima vaksin AstraZeneca lebih selamat dan berkesan.

Kira-kira 835,000 dos vaksin AstraZeneca dari Covax dijadualkan tiba hujung Jun yang mana Korea Selatan merancang menggunakannya sebagai dos kedua untuk 760,000 petugas kesihatan yang menerima dos pertama pada April lalu.

Penghantaran dijangka tiba Julai atau lebih lewat, bagaimanapun negara sudah menggunakan simpanan vaksin AstraZeneca selepas menerima penyertaan memberangsangkan dalam kempen vaksinasi yang dilaksanakan.

Lebih 27 peratus daripada 52 juta populasi sudah menerima dos pertama vaksin pada Khamis dan negara berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 70 peratus menjelang September, sekali gus mencapai komuniti kelompok sebelum November.

Bulan lalu, Korea Selatan mengatakan negara berkenaan akan melakukan percubaan klinikal menggabungkan dos dari AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech serta yang lain.

Pengarah Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), Jeong Eun-Kyeong berkata, sehingga kini seramai 100 petugas kesihatan menjalani percubaan untuk memeriksa pembentukan antibodi dan kesan imun lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:01 AM