VAKSIN COVID-19 yang diciptakan bersama oleh University of Oxford dan Vaccitech dengan kerjasama syarikat gergasi farmasi AstraZeneca.
VAKSIN COVID-19 yang diciptakan bersama oleh University of Oxford dan Vaccitech dengan kerjasama syarikat gergasi farmasi AstraZeneca.
AFP

London: Britain menjadi negara pertama meluluskan vaksin Covid-19 yang disifatkan berkos rendah hasil kajian AstraZeneca dan Universiti Oxford.

Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) berkata, vaksin berkenaan 'memenuhi standard ketat untuk keselamatan, kualiti dan keberkesanan', serta akan dilaksanakan pada 4 Januari nanti.

Perdana Menteri, Boris Johnson, yang pernah dijangkiti virus berkenaan menyifatkan penemuan berkenaan sebagai 'berita menakjubkan' dan 'kejayaan untuk sains British'.

"Kami akan mulakan gerakan vaksinasi untuk seberapa ramai individu secepat yang mungkin," katanya dalam hantaran di Twitter.

Britain sudah meluluskan vaksin keluaran Pfizer/BioNTech untuk kegunaan umum, di mana kira-kira 800,000 individu telah menerima dos pertama mereka.

Namun, disebabkan kes jangkitan masih tinggi, kerajaan berharap dapat menggunakan dos daripada Oxford/AstraZeneca yang lebih murah untuk dihasilkan selain mudah untuk disimpan dan dihantar.

Tidak seperti vaksin keluaran Pfizer-BioNTech, ia tidak memerlukan suhu terlalu sejuk untuk penyimpanan dan boleh menggunakan peti sejuk biasa, yang memudahkan ia dihantar ke seluruh dunia.

Oxford/AstraZeneca juga menyifatkan kajian itu sebagai 'vaksin untuk dunia', di mana ia berjanji untuk menghasilkannya bukan demi keuntungan khususnya kepada negara membangun.

Ia juga berharap dapat menghasilkan sehingga tiga bilion dos pada 2021.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 6:50 PM