RAKAMAN gambar suspek. FOTO Agensi
RAKAMAN gambar suspek. FOTO Agensi
Agensi

London: Polis United Kingdom giat mengesan suspek lelaki yang menyuntik vaksin palsu Covid-19 kepada wanita warga emas berusia 92 tahun.

The Guardian melaporkan, suspek berkenaan memperdaya mangsa dengan mendakwa dirinya kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebelum meminta wang 160 Pound Sterling (RM875) daripada warga emas itu.

Menurut keterangan mangsa, dia membenarkan suspek masuk ke rumahnya Surbiton di barat daya, London, tengah hari 30 Disember lalu selepas suspek menyamar sebagai kakitangan NHS untuk memberikan suntikan Covid-19 kepada komuniti.

Polis London, Kevin Ives berkata, modus operandi suspek itu boleh membahayakan nyawa orang lain dan menggesa orang ramai membantu menyalurkan maklumat untuk penahanannya.

Katanya, bahan suntikan digunakan suspek tidak diketahui kandungannya, namun mangsa tidak mengalami kesan buruk selepas membuat pemeriksaan di hospital.

Sementara itu, jurucakap kerajaan memberi amaran, NHS England tidak pernah mengenakan sebarang caj untuk mendapatkan vaksin atau meminta maklumat akaun bank atau nombor PIN atau kata kekunci apabila menghubungi orang ramai untuk vaksinasi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 3:23 PM