AMBULANS diparkir di sebuah hospital di London, ketika negara itu berdepan lonjakan kes akibat varian Omicron. FOTO AFP
AMBULANS diparkir di sebuah hospital di London, ketika negara itu berdepan lonjakan kes akibat varian Omicron. FOTO AFP
Agensi

London: Sebuah kantin hospital di United Kingdom (UK) diubah suai menjadi wad perubatan sementara ketika Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian Omicron.

Mirror UK melaporkan sebanyak 50 katil sedang dipasang di kantin kakitangan dan gimnasium fisioterapi di Hospital Diraja Preston ketika bahagian barat laut negara itu, menjadi hotspot Covid-19.

Sementara itu, Hospital Lancashire yang mempunyai 700 katil juga membina hab rawatan sementara di parkir keretanya dengan kapasiti untuk 100 pesakit lagi.

Ia adalah salah satu daripada lapan pusat rawatan sementara yang disediakan di seluruh England, sekiranya kes jangkitan Covid-19 meningkat.

Hospital Pelatih Perubatan Lancashire memaklumkan pihaknya sudah menutup kantin di hospital di bawah kendaliannya.

Ia bagi memastikan adanya ruang untuk kegunaan pesakit jika varian Omicron menyebabkan lonjakan kes yang memerlukan katil tambahan.

"Kami juga melihat ruang berpotensi lain termasuk gimnasium fisioterapi, dan secara keseluruhan kira-kira 50 katil boleh disediakan di ruang itu," katanya.

Inisiatif itu dilakukan ketika Kementerian Pertahanan mengumumkan 200 anggota tentera dikerahkan untuk membantu NHS, di London.

Mereka akan menjalankan tugas selama tiga minggu, dengan 40 pasukan dihantar terdiri daripada lima orang, masing-masing terdiri daripada seorang pegawai perubatan dan empat kakitangan am.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:45 AM