PANORAMA kota Jaipur yang boleh dilihat dari kota Jaigarh Fort.
PANORAMA kota Jaipur yang boleh dilihat dari kota Jaigarh Fort.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Acap kali ‘factory outlet’ di Bandung, Indonesia atau pasar Dong Xuan di Hanoi, Vietnam dilabel sebagai syurga membeli belah bagi kaki melancong warga Malaysia.

Namun, padamkan seketika dua lokasi itu berikutan bandar Jaipur di India mampu menyaingi dua kota berkenaan.

Di sinilah terdapatnya pelbagai fabrik termasuk sari sutera India yang boleh dibeli pada harga murah sekitar 1,000 rupee (RM60) sepanjang tujuh meter berbanding RM150 hingga RM300 di Malaysia.

Tidak hairanlah ramai kenalan yang pernah ke Jaipur jadi ‘gila’ dan akan memborong sebanyak mungkin kain sari yang jauh lebih murah.

Ini berikutan kian ramai memilih kain sari untuk dibuat baju kurung atau baju raya berikutan coraknya yang disifatkan menonjol dan lebih menarik.

Itu belum lagi mengambil kira pelbagai fabrik lain, hasil kraftangan, perhiasan logam serta batu permata yang menjadi kebanggaan ibu negara Rajashtan ini.

Penulis yang dipelawa syarikat AirAsia X menelusuri dan mengenali kota Jaipur selama lima hari sukar untuk menolak peluang keemasan ini.

FOTO Kajian Geologikal Amerika Syarikat.
FOTO Kajian Geologikal Amerika Syarikat.

Mulanya terdetik di hati gambaran kota Jaipur sama seperti Mumbai atau Delhi. Panas, sesak dan memeningkan dengan gelagat penduduk membuang air di merata tempat sesuka hati.

Namun, sangkaan itu meleset apabila kunjungan ke Jaipur disapa dengan kedinginan suhu 15 darjah Celsius, selain sikap mesra masyarakatnya.

Tidak hairanlah ramai rakan penulis sanggup menempuh perjalanan sejauh 250 kilometer dari kota Delhi ke Jaipur semata-mata untuk melihat keunikan bandar seribu istana ini.

Mereka terpaksa mengambil masa lebih lima jam berikutan tiada perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur ketika itu.

Pada hari pertama berada di Jaipur, penulis dibawa melihat keunikan istana Hawa Mahal di tengah ibu kota Jaipur. Kehebatan seni bina lama kota ‘merah jambu’ ini melatari hampir seluruh ceruk bandar ini.

Binaan istana Hawa Mahal dengan puluhan tingkap kecil ini menjadi simbol ikonik kota Jaipur yang menjangkau usia 200 tahun ini.

Menurut sejarah, golongan wanita di kalangan bangsawan istana akan berselindung di sebalik binaan itu yang memiliki hampir 900 tingkap kayu dipanggil Jharokhas untuk melihat sebarang festival atau perayaan di jalan berhadapan Hawa Mahal.

Keunikan binaan dari pasir merah dan merah jambu ini membuat penulis kagum kehebatan arkitek dan ilham pengasasnya Maharaja Sawai Jai Singh.

Malah kewujudan deretan kedai di bawah dan sekeliling Hawa Mahal dan kota istana dibina pada 1799 ini memudahkan pengunjung untuk membeli belah.

BINAAN istana Hawa Mahal yang memukau hingga diberi jolokan istana merah jambu.
BINAAN istana Hawa Mahal yang memukau hingga diberi jolokan istana merah jambu.

Tapi harus diingat, pelancong Malaysia yang mahu membeli barangan dihajati harus bijak tawar menawar. Kebanyakan peniaga di sini boleh berunding walaupun sedikit agresif. Sebaiknya minta potongan 50 peratus daripada harga diletakkan.

Jika mereka berkeras, anda hanya perlu bangkit dan keluar dari kedai berkenaan. Mereka pasti akan memanggil anda semula dan bersetuju dengan harga yang anda minta.

Kain sari sutera, barangan kraftangan logam, capal kulit unta, buku dan batu permata amat mudah didapati di sini. Penulis yakin pelancong ‘jimat cermat’ sekalipun akan rambang mata jika mengetahui harga yang mampu diperoleh.

Selain Hawa Mahal dan ribuan kedai di sekelilingnya, penulis turut dibawa melihat kehebatan ‘tembok besar India’ yang kedengaran begitu asing berbanding Tembok Besar China.

KAWASAN tarikan beli belah sekitar istana Hawa Mahal yang menjadi tumpuan utama pelancong asing.
KAWASAN tarikan beli belah sekitar istana Hawa Mahal yang menjadi tumpuan utama pelancong asing.

Mercu tanda ini walaupun tidak sehebat Tembok Besar China, namun mampu mencetuskan kekaguman apatah lagi ia dibina merentasi bukit bukau.

Lokasi ikonik turut dikenali sebagai Amber Palace atau Amer Fort terletak 11 kilometer dari Jaipur mula dibina pada 1558 dan terus kukuh hingga kini.

Binaan kota istana Amber Palace ini dianggap destinasi wajib dikunjungi sekiranya melancong ke Jaipur, apatah lagi ia diiktiraf sebagai Warisan Budaya Terpelihara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2013.

Binaan benteng kuno setinggi empat tingkat di lereng bukit dan dilatari keindahan tasik Maota di kaki bukit amat mempesona apatah lagi untuk pasangan berbulan madu.

PENULIS merakam detik ketika berada di hadapan kota istana Amber Palace.
PENULIS merakam detik ketika berada di hadapan kota istana Amber Palace.

Sesiapa yang melihat binaan gabungan seni bina Hindu dan Mughal ini pasti akan terbit rasa kagum terhadap pengasasnya Raja Bharmal.

Di sinilah sejarah kehebatan maharaja dan kerajaan Jaipur bermula. Pastikan anda cukup kuat stamina untuk mendaki ratusan anak tangga hingga ke puncak istana ini yang turut menempatkan binaan Sheesh Mahal (istana cermin).

Di sini jugalah maharaja mendirikan binaan menyerupai pangsapuri bertingkat bagi menempatkan 12 isterinya selain ratusan gundik.

Ketika penulis sampai sekitar jam 6 petang, lokasi itu dipenuhi pelancong Eropah yang tidak melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan cahaya dan bunyi menceritakan sejarah panjang ketuanan pemerintahan dinasti Rajashtan.

Selain itu kehebatan kota Jaigarh Fort di puncak Bukit Cheel Ka Teela turut memukau penulis apabila ia diibaratkan menara tinjau menyajikan panorama indah seluruh bandar Jaipur.

Kesempatan turut diambil wartawan melawat muzium lilin tarikan tambahan bagi pelancong ke kota lama dibina pada abad ke 18 ini.

Melancong ke Jaipur tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke istana terapung atau dikenali sebagai Jal Mahal terletak berhampiran dengan Amber Fort.

Istana air ini terletak di tengah-tengah tasik Man Sagar di bandar Jaipur dibina pada abad ke-18 oleh Maharaja Jai Singh sebagai istana percutian untuk kerabat diraja.

Biarpun aspek kebersihan tasik ini tidak dititikberatkan berikutan terdapat kotoran dan sampah hanyut namun lokasi ini tetap menarik untuk dikunjungi.

ISTANA air Jal Mahal terletak berhampiran dengan Amber Fort yang wajib dikunjungi sekiranya datang ke Jaipur.
ISTANA air Jal Mahal terletak berhampiran dengan Amber Fort yang wajib dikunjungi sekiranya datang ke Jaipur.

Dengan penduduk seramai 3.6 juta, Jaipur tidak menghampakan bagi ‘kaki jalan’ yang mahu mencari kelainan. Perkhidmatan penerbangan terus pesawat Airasia X dari Kuala Lumpur ke Jaipur dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu bermula 5 Februari lalu pastinya akan memudahkan pelancong untuk sampai ke sini hanya dalam tempoh lima jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 3:49 AM