KOBAYASHI memenangi enam kejuaraan berturut-turut dalam Pertandingan Makan ‘Hot Dog’ Nathan yang terkenal di peringkat antarabangsa di New York. FOTO Baidu
KOBAYASHI memenangi enam kejuaraan berturut-turut dalam Pertandingan Makan ‘Hot Dog’ Nathan yang terkenal di peringkat antarabangsa di New York. FOTO Baidu
Agensi

Tokyo: Raja Makan Kompetitif Jepun, Takeru Kobayashi mengumumkan persaraannya kerana tidak lagi berasa lapar.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Kobayashi, 46, memenangi enam kejuaraan berturut-turut dalam Pertandingan Makan 'Hot Dog' Nathan yang terkenal di peringkat antarabangsa di New York, malah pernah menelan 64.5 hot dog dalam satu sesi.

Pada usia 23 tahun, Kobayashi mencipta nama dengan mengambil bahagian dalam pertunjukan makan kompetitif Jepun dengan memakan sushi sebanyak 60 pinggan, 2.7 kilogram (kg) kentang dan 16 mangkuk ramen dalam satu sesi.

Di Taiwan, Kobayashi meraih kemenangan dengan memakan 5.5 kg kambing stew dalam masa 24 minit.

Di Hong Kong, dia muncul juara selepas memakan 100 char siu baos iaitu roti babi barbeku kukus dalam masa 12 minit sahaja.

KOBAYASHI pernah makan sushi sebanyak 60 pinggan, 2.7 kg kentang dan 16 mangkuk ramen  dalam satu sesi. FOTO Baidu
KOBAYASHI pernah makan sushi sebanyak 60 pinggan, 2.7 kg kentang dan 16 mangkuk ramen dalam satu sesi. FOTO Baidu

Kobayashi dilaporkan mempunyai pendapatan tahunan melebihi 100 juta yen (kira-kira RM3 juta) melalui tabiat makan yang kompetitif dan nilai itu lebih daripada cukup untuk menyara keluarganya.

Baru-baru ini, dia muncul dalam dokumentari Netflix, Hack Your Health: The Secrets of Your Gut dan mengumumkan rancangan persaraannya.

Filem ini berkisarkan sistem pencernaan manusia, menganalisis hubungan antara usus, diet dan kesihatan.

Kobayashi berkata, dia kini tidak lagi berasa lapar.

Isterinya berkata, Kobayashi pernah tidak makan selama tiga hari tanpa berasa lapar.

"Apabila kamu makan terlalu banyak, kamu kehilangan keupayaan untuk menghidu makanan dan kamu juga mengabaikan isyarat dari badan, seperti berasa kenyang," kata Kobayashi kepada Netflix.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 3:50 PM