PELARIAN Rohingya menunggu untuk diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam di barat Aceh, pada 21 Mac lalu. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya menunggu untuk diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam di barat Aceh, pada 21 Mac lalu. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Puluhan pelarian Rohingya yang diselamatkan selepas bot mereka terbalik pantai barat Indonesia minggu lalu, sebenarnya dipaksa keluar dari tempat perlindungan sementara akibat protes penduduk tempatan.

Pegawai Sekutu Perlindungan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR), Faisal Rahman berkata, kemasukan pelarian ke Aceh mencetuskan kemarahan di wilayah itu.

Beliau berkata, ia menyebabkan beberapa penduduk tempatan menolak bot yang membawa Rohingya kembali ke laut, atau cuba menyerbu tempat perlindungan sementara mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Mangsa yang terselamat dalam kejadian terbalik minggu lalu ditempatkan (di lokasi) sejauh 10 minit ke pejabat ketua kerajaan tempatan di Aceh Barat.

"Mereka dipindahkan ke halaman belakang pejabat tempatan," katanya.

Khamis lalu, pihak berkuasa menyelamatkan 69 pelarian Rohingya yang ditemukan selepas mereka berpaut pada badan bot yang terbalik selama lebih sehari.

Enam yang lain diselamatkan nelayan sehari sebelumnya.

Sekurang-kurangnya 11 Rohingya ditemukan maut di lautan selepas penyelamat menghentikan pencarian pada Jumaat, walaupun beberapa mangsa yang terselamat berkata, lebih 150 orang berada di atas bot itu ketika ia terbalik.

Mereka yang terselamat diberi perlindungan di sebuah bangunan lama Palang Merah di Aceh Barat, namun puluhan penduduk tempatan menyerbu kemudahan itu pada Selasa untuk menuntut pengusiran mereka, memaksa pihak berkuasa memindahkan kumpulan 75 pelarian itu.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhamad Iqbal memberitahu AFP, Indonesia memberi perlindungan sementara kepada Rohingya atas sebab kemanusiaan, tetapi PBB dan negara-negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian PBB diwajibkan memberi perlindungan kekal.

Indonesia tidak menandatangani konvensyen itu.

Sejak pertengahan November hingga akhir Januari, sebanyak 1,752 pelarian Rohingya mendarat di pantai Indonesia.

UNHCR merekodkan ia adalah kemasukan terbesar pelarian Rohingya ke Indonesia, sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 9:43 AM