ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat Indonesia mengangkat mayat etnik Rohingya yang lemas selepas bot karam di perairan Calang, barat Aceh. FOTO AFP.
ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat Indonesia mengangkat mayat etnik Rohingya yang lemas selepas bot karam di perairan Calang, barat Aceh. FOTO AFP.
Agensi

Aceh: Dua wanita Rohingya ditemui lemas di pantai barat Aceh semalam, sehari hari selepas pihak berkuasa Indonesia mengumumkan operasi menyelamat ditamatkan susulan bot pelarian itu karam pada Rabu lalu.

Pengumuman penamatan dibuat pada Jumaat, walaupun ada mangsa terselamat mendakwa terdapat puluhan orang hanyut ketika tragedi berkenaan.

Dalam operasi itu pasukan menyelamatkan 69 etnik Rohingya selepas berminggu hanyut di lautan dan berpaut pada badan bot yang terbalik.

"Pencarian tamat pada Khamis. Semua pelarian Rohingya di atas bot yang karam diselamatkan," kata pegawai agensi mencari dan menyelamat Muhammad Fathur Rachman.

Sementara itu ketua operasi bagi agensi sama, Mirza Saprinadi dilapor Reuters berkata, dua wanita yang ditemukan lemas sudah disahkan warga Rohingya.

Katanya, mayat mangsa dibawa arus hingga terdampar di pantai, malah nelayan tempatan turut melaporkan menemui beberapa lagi mangsa lemas di sepanjang pantai barat wilayah Aceh.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, lebih 70 mangsa etnik Rohingya 'diandaikan mati atau hilang' dalam tragedi itu.

Jika angka itu disahkan, ia menjadi korban tertinggi membabitkan kejadian seumpamanya, tahun ini.

Etnik Rohingya menjadi pelarian selepas meninggalkan Myanmar bertahun lalu dan data UNHCR menunjukkan lebih 2,300 orang tiba di Indonesia tahun lalu, melebihi jumlah ketibaan dalam empat tahun sebelumnya.

Pada 2023, sekurang-kurangnya 569 Rohingya meninggal dunia atau hilang ketika cuba melarikan diri dari Myanmar atau Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:47 PM