Perhimpunan yang membabitkan pelajar universiti menolak kehadiran etnik Rohingya di Banda Aceh, Indonesia. - FOTO AFP
Perhimpunan yang membabitkan pelajar universiti menolak kehadiran etnik Rohingya di Banda Aceh, Indonesia. - FOTO AFP
Reuters

Jakarta: Sebuah kapal tentera laut Indonesia telah bertindak mengusir bot yang membawa etnik Rohingya dari Myanmar, menurut jurucakap tenteranya.

Tindakan dilakukan di perairan Aceh terhadap pelarian dari negara konflik itu dibuat ketika semakin banyak permusuhan tercetus membabitkan kumpulan itu dengan penduduk tempatan.

Jurucakap tentera, Nugraha Gumilar berkata, bot kayu itu ditemui di perairan berhampiran Pulau Weh, di luar Sumatera.

"Kapal tentera Indonesia mengiringi bot dipercayai membawa Rohingya itu sehingga mereka berada di luar perairan Indonesia dan tidak akan kembali.

"Tidak begitu jelas berapa ramai Rohingya berada di atas bot terbabit," katanya.

Lebih 1,500 Rohingya sudah mendarat di Indonesia sejak November, menurut data dari agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR).

Namun, kehadirannya mencetuskan permusuhan dan penolakan yang semakin meningkat dari kalangan penduduk tempatan yang kecewa dengan kehadiran jumlah bot yang tiba.

Pada Rabu, sekumpulan besar pelajar Indonesia menyerbu pusat konvensyen menempatkan ratusan Rohingya di ibu kota Aceh, menggesa mereka supaya dihantar pulang.

UNHCR berkata, pihaknya terkilan melihat serangan oleh kumpulan perusuh di tempat perlindungan keluarga pelarian berkenaan.

Selama bertahun-tahun, Rohingya meninggalkan Myanmar, di mana mereka secara umumnya dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, selain dinafikan kewarganegaraan dan sering berdepan penindasan.

Mereka biasanya menuju ke Indonesia atau Malaysia dari November hingga April, iaitu ketika laut tenang dari ombak besar.

Indonesia, negara majoriti Muslim terbesar di dunia, bukan penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian 1951, namun mempunyai sejarah menerima pelarian.

Indonesia berulang kali menggesa pihak berkuasa Myanmar menghentikan keganasan terhadap Muslim Rohingya, selain menegaskan akan mengambil tindakan terhadap dalang penyeludupan manusia yang terbabit dalam gelombang ketibaan kumpulan terbaru itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 6:04 PM