XU Longjun akan menggendong dan membawa pulang Yinyuan, jika pelajarnya itu diserang narkolepsi. FOTO Weibo
XU Longjun akan menggendong dan membawa pulang Yinyuan, jika pelajarnya itu diserang narkolepsi. FOTO Weibo
AFP

Beijing: Seorang guru baik hati di Sekolah Menengah Chongqing Dianjiang di barat daya China, baru-baru ini, dirakam kamera pengawasan sedang menggendong murid lelaki yang tertidur di sekolah itu, lapor akhbar tempatan cqnews.net.

Xu Longjun akan menggendong dan membawa pulang pelajarnya itu, jika kanak-kanak itu tertidur.

Ia kerana dia mengetahui bahawa kanak-kanak itu menghadapi penyakit jarang jumpa dikenali sebagai narkolepsi iaitu kecenderungan yang melampau untuk tertidur.

Xu akan membawa muridnya ke kereta sebelum memandu ke rumah kanak-kanak itu. Budak itu dijaga oleh datuk dan neneknya.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pesakit narkolepsi boleh menjadi mengantuk pada siang hari dan sukar untuk membangunkan mereka daripada tidur.

Penyakit yang sangat jarang berlaku dengan narkolepsi hanya menjejaskan 0.03 hingga 0.16 peratus daripada populasi. Walaupun ia boleh menyerang pada sebarang umur, ia lebih biasa dalam kalangan remaja lelaki, menurut akhbar The Paper.

Huang Shichang, doktor dari Hospital Universiti Peking di Beijing, memberitahu baidu.com, jika keadaan tidak bertambah baik, penghidap narkolepsi secara beransur-ansur boleh kehilangan ingatan, keupayaan untuk menumpukan perhatian, dan kemahiran koordinasi mereka.

Xu berkata, dia mula menyedari murid lelaki dikenali sebagai Yinyuan itu tidur berlebihan, kira-kira dua tahun lalu.

Dia pernah menyimbah air ke muka muridnya itu, malah mencubitnya dalam usaha untuk mengejutkan murid, tetapi ia tidak berjaya.

Guru itu memaklumkan kepada keluarga Yinyuan dan mencadangkan mereka membawanya ke hospital di mana doktor mendiagnosis budak lelaki itu mengalami narkolepsi.

Walaupun sudah dirawat, keadaan budak lelaki itu masih belum sembuh walaupun keadaannya bertambah baik.

"Kekerapan serangan narkolepsinya adalah dua hingga tiga kali seminggu sebelum ini. Ia menurun sedikit sejak tahun lalu," kata Xu.

Xu berkata, dia perlu menghantar muridnya itu pulang ke rumah kerana bimbang kemungkinan berlaku kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 11:47 AM