Anggota bomba berusaha membuka pintu kereta bagi menyelamatkan budak lelaki yang terperangkap akibat terkunci dalam kereta di tempat letak kenderaan di Hospital Seri Manjung. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba berusaha membuka pintu kereta bagi menyelamatkan budak lelaki yang terperangkap akibat terkunci dalam kereta di tempat letak kenderaan di Hospital Seri Manjung. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Budak lelaki berusia lima tahun diselamatkan anggota bomba selepas terkunci selama kira-kira 30 minit dalam kereta bapanya di kawasan tempat letak kereta Hospital Seri Manjung, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa dikatakan tertidur di dalam kereta selepas bapanya meninggalkannya bersendirian dalam kereta yang enjin dihidupkan untuk mengambil ubat di hospital berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Pegawai Bomba Mior Azman Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 pagi mengenai kejadian itu.

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Hakim datang ke hospital bersama bapanya berusia 40-an dan mangsa dipercayai kurang sihat.

"Mangsa demam serta ada kesan suntikan di tangannya dan mungkin baru selesai menjalani rawatan sambil ditinggalkan dalam kereta untuk menunggu bapanya mengambil ubat sehingga mangsa tertidur.

"Setibanya di tempat kejadian, bomba menggunakan dawai dalam usaha membuka pintu sementara anggota lain cuba memanggil dan mengetuk cermin kereta itu untuk mengejutkan mangsa yang sedang tidur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika operasi mengeluarkan mangsa dilakukan, kanak-kanak itu tersedar sebelum berjaya membuka pintu kereta dan operasi ditamatkan pada jam 10.58 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 4:20 PM