Bayi dan kanak-kanak perempuan yang berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat selepas ‘terkunci’ 30 minit dalam Proton Exora bapa mereka. FOTO Ihsan bomba
Bayi dan kanak-kanak perempuan yang berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat selepas ‘terkunci’ 30 minit dalam Proton Exora bapa mereka. FOTO Ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Dua beradik perempuan berusia setahun dan empat tahun terperangkap kira-kira 30 minit dalam kereta bapanya selepas kenderaan itu terkunci dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Batang Kali jam 3.40 petang tadi.

Kanak-kanak terbabit dipercayai ditinggalkan sementara oleh bapanya untuk ke pasar raya berkenaan namun ketika kembali pintu kereta itu terkunci dari dalam berikutan anak perempuan berusia empat tahun itu tertidur.

Ketika kejadian, kunci kereta jenis Proton Exora itu berada di dalam dengan enjin masih hidup.

Panik dengan situasi itu, bapa kanak-kanak terbabit meminta bantuan orang ramai sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4 petang sebelum enam anggota dan pegawai bergegas ke lokasi.

"Kita berjaya membuka pintu kereta itu dengan menggunakan dawai dan kedua-dua kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 9:20 PM