PASUKAN keselamatan Israel di laman Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. FOTO AFP
PASUKAN keselamatan Israel di laman Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. FOTO AFP
BERNAMA

Baitulmaqdis: Seramai 178 orang cedera dalam serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur pada Jumaat, menurut Palang Merah Palestin dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah itu, 88 dibawa ke hospital di Baitulmaqdis, manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar, lapor agensi berita Anadolu, menurut kenyataan berkenaan.

Kebanyakan mangsa cedera akibat terkena peluru getah dilepaskan polis Israel, tambahnya.

Palang Merah Palestin membuka hospital sementara di wilayah itu berikutan isu kapasiti hospital.

Terdahulu, polis Israel cuba untuk menyuraikan penganut Islam di dalam kawasan Haram al-Sharif di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat, menggunakan bom asap dan gas pemedih mata.

Polis menyerang umat Islam ketika mereka menunaikan solat tarawih.

Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci untuk umat Islam. Orang Yahudi mendakwa kawasan itu sebagai Temple Mount atau tapak dua biara Yahudi purba.

Israel menjajah Baitulmaqdis Timur, lokasi terletaknya Masjid Al-Aqsa, ketika Perang Arab-Israel pada 1967,

Ia menakluk seluruh bandar itu pada 1980 meskipun langkah itu tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:49 AM