AFP

Riyadh: Umat Islam di Arab Saudi dan negara Timur Tengah lain mula berpuasa pada Isnin ketika perang masih berterusan di Gaza.

Pengumuman tarikh berpuasa itu dibuat oleh Mahkamah Agung, lapor agensi berita rasmi SPA, Ahad lalu.

Selepas melihat anak bulan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengumumkan tarikh permulaan puasa jatuh pada Isnin melalui saluran berita rasmi masing-masing.

Badan penasihat Islam Mesir, Dar al-Ifta juga mengesahkan Ramadan akan bermula pada Isnin, sama seperti untuk Wilayah Palestin termasuk Gaza, serta Algeria dan Tunisia.

Negara jirannya, Maghribi dan Libya pula akan menyambut Ramadan bermula Selasa.

Iran sebelum ini menetapkan permulaan Ramadan pada Selasa selepas pejabat pemerhatian anak bulan memaklumkan tidak mungkin untuk melihat anak bulan Ramadan.

SALAH satu lokasi melihat anak bulan di Arab Saudi. FOTO AFP
SALAH satu lokasi melihat anak bulan di Arab Saudi. FOTO AFP

Di Arab Saudi, permulaan tarikh berpuasa pada mulanya menimbulkan persoalan selepas beberapa pemerhati melaporkan bahawa penampakan anak bulan yang kabur kerana cuaca mendung dan debu.

Bagaimanapun, pengesahan akhir mengenai mengenai penampakan anak bulan itu datang melalui Balai Cerap Astronomi Universiti Al Majmaah di Riyadh.

Sementara itu, ketika mengumumkan Selasa sebagai permulaan Ramadan di Jordan, Mufti Besar kerajaan Ahmed Hasnat berdoa memohon Allah SWT supaya meringankan penderitaan rakyat Gaza.

Oman juga dilaporkan mengumumkan hari pertama Ramadan adalah pada Selasa.

Sepanjang Ramadan, umat Islam dituntut menahan diri daripada makan dan minum bermula terbit fajar hingga matahari terbenam.

Secara tradisinya, mereka yang berpuasa akan berkumpul bersama keluarga dan rakan untuk berbuka puasa sebelum ke masjid menunaikan solat Tarawih.

Dalam pada itu, Ketua Hamas, Ismail Haniyeh pada Ahad berkata, pejuang Palestin masih terbuka untuk berbincang dengan Israel, selepas pengantara setakat ini gagal mendapatkan gencatan senjata.

"Saya katakan dengan jelas bahawa orang yang bertanggungjawab untuk tidak mencapai persetujuan ialah (Israel)... Namun, saya katakan bahawa kami terbuka untuk meneruskan rundingan," kata Haniyeh dalam ucapan di televisyen.

Pengantara mendesak gencatan senjata baharu dalam perang yang kini memasuki bulan keenam, sebelum Ramadan.

Bagaimanapun, Haniyeh, yang tinggal di Qatar, pada Ahad berkata, Israel tidak sanggup memenuhi syarat Hamas untuk perjanjian yang akan menyaksikan pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin.

Beliau mengulangi bahawa Hamas mahukan gencatan senjata yang berpanjangan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, kepulangan penduduk Gaza ke rumah mereka dan meningkatkan akses kepada bantuan kemanusiaan di wilayah yang dikepung itu.

Israel menolak pengunduran penuh tenteranya, dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan kempennya untuk memusnahkan Hamas, walaupun selepas sebarang perjanjian gencatan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 9:57 AM