PENUNJUK perasaan menyertai demonstrasi di New York untuk menuntut gencatan senjata di Gaza. FOTO Reuters
PENUNJUK perasaan menyertai demonstrasi di New York untuk menuntut gencatan senjata di Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, pada Selasa, menuduh Israel mensabotaj rundingan gencatan senjata selepas serbuannya ke atas hospital terbesar di Gaza.

Tentera Israel berkata, berpuluh-puluh pejuang Palestin terbunuh pada serbuan Isnin lalu dan ratusan lagi ditahan semasa serbuan ke atas Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, yang sesak dengan pesakit dan orang yang kehilangan tempat tinggal.

"Tindakan tentera penjajah Zionis di Kompleks Perubatan Al-Shifa mengesahkan niat mereka untuk menghalang pemulihan kehidupan di Gaza dan membongkar aspek penting kewujudan manusia," kata Haniyeh.

"Penyasaran sengaja terhadap pegawai polis dan pegawai kerajaan di Gaza menggambarkan usaha mereka untuk menyemai huru-hara dan mengekalkan keganasan dalam kalangan rakyat kita yang berdaya tahan. Ini juga mendedahkan usaha pemimpin pendudukan untuk mensabotaj rundingan yang sedang berjalan di Doha," katanya.

Rundingan untuk gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan sedang dijalankan di Doha dan cadangan balas tidak lama lagi boleh dikemukakan kepada Hamas, kata Qatar pada Selasa.

Ketua Mossad, David Barnea terbang ke Qatar untuk berbincang dengan perdana menteri Qatar dan pegawai Mesir pada Isnin lalu, yang pertama sejak pengantara gagal mendapatkan gencatan senjata sebelum bulan suci Ramadan, yang bermula minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 9:34 AM