FOTO fail menunjukkan pasukan penyelamat di lokasi nahas kereta api di Andhra Pradesh, pada Oktober 2023. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan pasukan penyelamat di lokasi nahas kereta api di Andhra Pradesh, pada Oktober 2023. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Tindakan pemandu kereta api menonton perlawanan kriket di telefon bimbit menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan kereta api lain sehingga mengorbankan 14 mangsa.

Kemalangan maut di negeri Andhra Pradesh pada Oktober berlaku ketika tuan rumah India menentang England semasa Piala Dunia.

Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw berkata, kes berkenaan berlaku disebabkan kedua-dua pemandu dan pembantu lokomotif terganggu dengan perlawanan kriket.

"Sekarang kami sedang memasang sistem yang boleh mengesan sebarang gangguan sedemikian dan memastikan (pemandu kereta api) dan pembantu memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengendalikan kereta api," katanya menerusi lapor agensi berita Press Trust of India.

Ratusan juta peminat kriket di India menonton siaran langsung perlawanan Piala Dunia, yang dimenangi tuan rumah.

Dalam kejadian berasingan, Hindustan Times melaporkan, pegawai memecat ketua stesen dan tiga kakitangan lain selepas kereta api barang bergerak sejauh 70 kilometer tanpa pemandu, bulan lalu.

Mereka disingkirkan daripada jawatan mereka kerana cuai selepas kira-kira 50 gerabak bergerak selama hampir dua jam.

India mempunyai salah satu rangkaian rel terbesar di dunia dan mengalami beberapa bencana sejak beberapa tahun.

Pada Jun 2023, perlanggaran tiga kereta api di negeri Odisha, mengorbankan hampir 300 orang.

Bencana paling buruk berlaku pada tahun 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir semasa melintasi jambatan di negeri Bihar, hingga mengorbankan kira-kira 800 orang.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini India melabur sejumlah besar wang untuk menaik taraf rangkaian dengan stesen moden dan sistem isyarat elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 10:39 AM