SEBUAH kereta api bergerak tanpa pemandu sejauh 69 km. FOTO Agensi
SEBUAH kereta api bergerak tanpa pemandu sejauh 69 km. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Sebuah kereta api 'melarikan diri' bersama muatan sejauh lebih 69 kilometer (km) melalui lima stesen sebelum dihentikan menggunakan bongkah kayu.

Mirror UK melaporkan, ketika kejadian, kereta api barangan itu berlepas dari Kathua, India, menuju ke Hoshiarpur sejauh 135 km.

Ia dirakam melalui sebuah stesen pada 25 Februari.

Ketika kereta api berhenti di sebuah stesen untuk menukar kru, ia tiba-tiba bergerak ke bawah landasan lain dan bergerak dengan kelajuan dianggarkan 100 km sejam (kmj) tanpa pemandu.

Kedua-dua pemandu dan pembantu sudah turun ketika kereta api itu bergerak sebelum akhirnya dihentikan oleh kakitangan Indian Railways.

Walaupun tiada siapa yang cedera, kejadian itu mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan.

Bagi mengelakkan musibah lebih teruk, bongkah kayu diletakkan di atas landasan di hadapan alat pengangkutan itu sebagai halangan.

Bongkah kayu itu akhirnya berjaya memperlahankan kereta api sebelum berhenti sepenuhnya.

Pegawai juga menutup landasan kereta api yang terletak di laluannya dan pemeriksaan lanjut mendapati kabel atas kereta api itu terputus.

Mereka sedang menyiasat sebarang kesilapan keselamatan bagi mengelak kejadian sama.

Satu kenyataan berkata: 'Punca sebenar kejadian itu belum dapat dipastikan.'

Kejadian sama pernah berlaku di India pada 2018 apabila sebuah kereta api 'melarikan diri' dengan membawa 1,000 penumpang, ia berpusing ke belakang sejauh kira-kira 10 km.

Ia dilihat memecut menuruni bukit melalui Titlagarh dan hanya dihentikan apabila kakitangan mengalihkan batu untuk halangan di trek landasan.

Kejadian itu juga tidak membabitkan sesiapa yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:59 PM