BERSAMA pasukan kriket wanita Malaysia di Kinrara Oval.
BERSAMA pasukan kriket wanita Malaysia di Kinrara Oval.
Aniza Zainudin

Memasang impian bergelar pemain kriket untuk pasukan kebangsaan membawa Dinesh Muthuramam Sockalingam ke Malaysia.

Mula bermain untuk pasukan negeri sejak 2002 di Kedah, seterusnya Perak, Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia dari 2005 hingga 2011, lelaki berusia 37 tahun ini menganggap Malaysia membuka peluang buatnya menggapai impian.

Sebagai balasan, Dinesh melihat dirinya bertanggungjawab untuk memartabatkan sukan kriket negara ini, sekali gus membawa nama Malaysia ke persada dunia.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Perlawanan persahabatan kriket di antara pasukan saya dari India dan pasukan kebangsaan Malaysia sekitar Jun 2001 menjadi detik pertama saya menjejakkan kaki di negara ini.

Perlawanan itu menjadi satu daripada persediaan pasukan Malaysia sebelum ke Liga Kriket Dunia ICC. Saya berada di Malaysia selama 10 hari sebelum pulang ke tanah air.

Kedatangan itu juga memberi pendedahan kepada saya mengenai peluang bermain kriket mewakili sebuah negara. Tambahan pula, kriket bukan sukan popular seperti bola sepak di Malaysia. Justeru, saya merancang kembali ke Malaysia untuk bermain kriket.

Setahun kemudian, saya datang ke Malaysia dan menyertai pasukan kriket Kedah selama dua tahun sebelum berhijrah ke pasukan negeri yang lain.

Pada 2005, akhirnya saya berjaya menyertai pasukan kebangsaan dan bermain kriket atas tiket Malaysia. Saya gembira dengan peluang yang saya peroleh daripada Malaysia.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Saya tidak tahu langsung mengenai Malaysia dan kedatangan saya ke sini semata-mata untuk bermain kriket.

Bagi saya, Malaysia negara menarik. Potensi untuk memperkembangkan sukan kriket di Malaysia sungguh cerah.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Kali kedua saya ke Malaysia pada 2002 untuk mengembangkan karier sukan, saya sedar pasti wujud kekangan untuk saya menyesuaikan diri pada permulaannya.

Pergaulan dan penerimaan baik rakan sepasukan dan jurulatih mempermudahkan kehidupan baru di sini. Bahasa antara cabaran utama perlu saya atasi.

Oleh kerana saya bermain untuk Kedah dan penggunaan bahasa Inggeris terhad, saya perlu mempelajari bahasa Melayu. Selain bermain, saya juga menjadi jurulatih kriket di beberapa sekolah di Kedah untuk pelajar, jadi kemahiran berbahasa tempatan memudahkan saya berkongsi ilmu dengan anak kecil ini.

Keberadaan saya di sini untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran kriket bersama rakyat Malaysia.

Sekarang menjadi tanggungjawab saya membalas jasa baik Malaysia kerana cita-cita saya bermain di peringkat antarabangsa mewakili negara, terutama Malaysia tercapai.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Ketika mewakili Malaysia pada 2008 ACC Trophy Elite, saya berjaya memenangi Anugerah Bowler Terbaik. Ia pencapaian terbaik buat saya.

Berpengalaman sebagai pemain, jurulatih dan kini menguruskan operasi Persatuan Kriket Malaysia (MCA), saya yakin Malaysia menyerlah dalam sukan ini.

Kami aktif menjelajah ke sekolah seluruh Malaysia mempromosikan sukan kriket, nyata ia mendapat perhatian pihak sekolah dan pelajar juga memperlihatkan keterujaan mereka bermain kriket.

Sekurang-kurangnya lebih 500 sekolah seluruh Malaysia mempunyai pasukan kriket sendiri. Kini, Malaysia berada di kedudukan 23 pada peringkat dunia dalam Divisyen Tiga.

Kita juga menyasarkan dalam tempoh lima tahun, Malaysia akan bermain dalam Piala Dunia.

5. Lokasi pilihan anda?

Pastinya Kinrara Oval (stadium kriket). Saya menghabiskan masa hampir 24 jam seminggu di sini.

Saya bersyukur kerana isteri dan anak sentiasa memahami komitmen saya.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Nasi lemak rendang ayam, roti jala kari ayam dan pelbagai jenis sajian Malaysia sama ada Melayu, India mahupun Cina.

7. Malaysia pada mata anda?

Malaysia adalah negara yang benar-benar menggambarkan Asia. Sebuah negara indah didiami penduduk yang baik hati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:38 AM