Yossi Sharabi (kiri), Noa Argamani (tengah) dan Itai Svirsky (kanan). FOTO Briged Al-Qassam
Yossi Sharabi (kiri), Noa Argamani (tengah) dan Itai Svirsky (kanan). FOTO Briged Al-Qassam
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Wanita Israel, Noa Argamani yang masih ditahan di Gaza, Palestin merayu kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu membawa semua tahanan yang masih hidup pulang ke tanah air dengan selamat.

Argamani, 26, berkata, dia tidak mahu nasib menimpa dua rakan tahanannya, Yossi Sharabi dan Itai Svirsky, masing-masing berusia 53 dan 38 tahun, yang terbunuh akibat serangan rejim berlaku ke atasnya serta tahanan lain.

Dakwanya, dia cedera di kepala manakala dua rakannya itu tidak dapat diselamatkan selepas beberapa kali mereka diserang pesawat tempur rejim sepanjang menjadi tahanan Hamas.

"Kami pernah tertimbus di bawah runtuhan selepas bangunan kami berlindung dibom tentera Israel.

"Tentera Al-Qassam menyelamatkan nyawa saya dan Itai tetapi kami tidak dapat menyelamatkan Yossi.

"Selepas dua malam, saya dan Itai dipindahkan ke tempat lain tetapi semasa dalam perjalanan, Itai maut apabila terkena serangan udara tentera Israel," katanya dalam video terbaharu disiarkan Briged Al-Qassam, kelmarin.

Dia mengakui, kumpulan pejuang Hamas melayan tahanan Israel dengan baik, namun keadaan perang serta sekatan dikenakan Israel mengakibatkan mereka turut mengalami kesukaran untuk meneruskan hidup.

"Al-Qassam melayan dan menjaga kami sebaik mungkin tetapi tidak banyak sumber yang masih ada.

"Semua sumber sudah habis. Tak ada air dan makanan," katanya.

Argamani turut merayu kepada kerajaanya supaya menghentikan segera perang di Gazq.

"Hentikan kegilaaan ini dan bawa kami balik kepada pangkuan keluarga kami.

"Selagi kami masih hidup, tolong bawa kami balik," katanya mengakhiri petikan rakaman video itu.

Dalam video sama, Briged Al-Qassam turut merangkumkan petikan rayuan Argamani yang membuat penampilan sulung bersama Sharabi dan Svirsky supaya Netanyahu membawa mereka pulang dengan segera selepas 100 hari mereka ditahan.

Rakaman video itu disiarkan Ahad lalu sebelum kematian tahanan lelaki itu akibat serangan tentera Israel.

Tiga rakyat Israel terbabit antara 240 orang yang ditahan di Gaza sejak perang meletus, 7 Oktober lalu.

Israel mendakwa, sebahagian daripada jumlah itu berjaya dibebaskan sepanjang seminggu gencatan senjata dicapai dua pihak, November lalu.

Israel yang memetik maklumat risikan tentera yang beroperasi di Gazq, baki 132 masih berada dalam tahanan Hamas dengan 25 daripada mereka meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 7:02 AM