ARINI Mohamed Adinan (kiri) terbabit dalam insiden kemalangan go-kart (kanan) di Batam. baru-baru ini. FOTO IDN Times
ARINI Mohamed Adinan (kiri) terbabit dalam insiden kemalangan go-kart (kanan) di Batam. baru-baru ini. FOTO IDN Times
Agensi

Singapura: Wanita warga Singapura yang berada di Batam untuk lawatan ulang tahun bersama rakan-rakannya, meninggal dunia dalam kemalangan go-kart, baru-baru ini, lapor portal The Straits Times.

Kejadian itu pada 21 Februari lalu, iaitu sehari selepas dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-33.

Ketua perhubungan awam polis wilayah di Kepulauan Riau, Pesuruhjaya Polis Zahwani Pandra Arsyad berkata, dalam kejadian di Golden City Go Kart di Bengkong itu, go-kart dipandu Arini Mohamed Adinan dilihat bergerak laju sebelum melanggar penghadang yang dibarisi tayar.

"Saksi melihat mangsa di dalam go-kart dengan nombor 14 dan memandu dua pusingan mengelilingi trek. Go-kartnya kemudian melanggar penghadang di litar," katanya.

Kesan rempuhan itu menyebabkan topi keledar Arini, tercampak.

Seorang pekerja di tapak itu segera menghampirinya dan melihat rambut wanita itu tersangkut pada salah satu roda belakang go-kart.

Kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang waktu tempatan.

Susulan kejadian, Arini dibawa ke klinik berhampiran, di mana dia disahkan meninggal dunia.

Rakan-rakannya dikenali sebagai Karmeli, 27; Zeth, 40-an; dan Julie, 50-an yang pergi bersamanya ketika tragedi itu memberitahu, terdapat masalah dengan go-kart dinaiki mereka.

Zeth berkata, dia cuba menekan brek tetapi gagal selepas melihat kenderaan Arini terbabas.

"Saya terpaksa menyebabkan go-kart itu melanggar ke dinding tayar supaya ia berhenti. Tetapi enjin masih hidup," kata Zeth sambil menambah bahawa hanya mereka di litar, pada masa kejadian.

Wanita itu turut menyangkal laporan media yang mengatakan Arini tidak memakai topi keledar.

Julie menambah bahawa wanita itu membantu satu sama lain untuk memakai topi keledar, tetapi berkata, tiada taklimat keselamatan diberikan sebelum kejadian.

"Sakit hati saya apabila saya membaca komen netizen yang mengatakan kami tidak tahu memakai topi keledar," katanya.

Jenazah Arini tiba di Masjid Pusara Aman pada 5.30 petang di Singapura pada 22 Februari, dan dia dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan, sebelum 7 malam.

Lebih 100 ahli keluarga, rakan dan rakan sekerja berada di pengebumian untuk memberikan penghormatan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 11:29 AM