Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Dua beranak maut manakala beberapa yang lain cedera selepas dilanggar ketika perlumbaan Go-Kart EIMARACE di Jalan Sukpa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi tadi, mangsa Izwan Isa, 39, bersama anak perempuannya, Nur Zulaikha Izwan, 4, sedang menyaksikan perlumbaan itu sebelum dirempuh satu kenderaan go-kart yang dikatakan hilang kawalan.

Difahamkan kenderaan itu hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan lain sebelum merempuh mangsa.

Seorang penonton Said Ishak, 56, memberitahu mangsa maut di tempat kejadian manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 3:29 PM
ANTARA penonton yang cedera ketika perlumbaan. FOTO ihsan pembaca
ANTARA penonton yang cedera ketika perlumbaan. FOTO ihsan pembaca