AHLI pasukan antijunta Pasukan Pertahanan Kebangsaan Karenni (KNDF) mencari periuk api ditanam tentera Myanmar berhampiran perbandaran Pekon, Mynmar. FOTO AFP
AHLI pasukan antijunta Pasukan Pertahanan Kebangsaan Karenni (KNDF) mencari periuk api ditanam tentera Myanmar berhampiran perbandaran Pekon, Mynmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Junta Myanmar menjatuhkan hukuman mati kepada tiga pegawai tinggi yang memantau penyerahan sebuah bandar strategik di sempadan China, kepada pejuang etnik minoriti bulan lalu.

Perkara itu disahkan sumber tentera kepada AFP.

"Tiga brigedier jeneral termasuk komander bandar Laukkai dijatuhkan hukuman mati," kata sumber tentera itu.

Satu lagi sumber tentera mengesahkan hukuman itu.

"Tiga lagi brigedier jeneral dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana peranan mereka dalam penyerahan diri di Laukkai," kata dua sumber itu.

Ratusan tentera meletakkan senjata mereka sebelum menyerahkan bandar Laukkai di negeri Shan, utara Myanmar kepada Three Brotherhood Alliance selepas pertempuran berbulan-bulan yang menyaksikan tentera kehilangan banyak wilayah.

Penyerahan itu, salah satu kekalahan terbesar tentera dalam beberapa dekad dan mencetuskan kritikan lanjut penyokong terhadap kepimpinan junta.

Selepas penyerahan, pegawai dan tentera mereka dibenarkan Three Brotherhood Alliance meninggalkan kawasan itu.

Laukkai ialah bandar terbesar yang dirampas Three Brotherhood Alliance terdiri daripada Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Arakan (AA) dan Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA).

Perikatan itu melancarkan serangan mengejut merentasi kawasan utara Myanmar pada penghujung Oktober, sebelum merampas beberapa bandar dan hab perdagangan yang menguntungkan di sepanjang sempadan China.f

Sumber yang rapat dengan MNDAA baru-baru ini memberitahu AFP, kumpulan itu sedang berusaha untuk mewujudkan pentadbiran baharu di bandar itu, namun beliau tidak memberikan butiran mengenainya.

Penganalisis berkata serangan itu, meletakkan junta yang diperangi dalam kedudukan yang paling terdedah sejak ia merampas kuasa.

Bulan ini, ia mengumumkan akan mula mengerahkan lelaki dan wanita muda ke dalam barisan hadapannya kerana keadaan semasa.

Tiada butiran diberikan tentang bagaimana mereka yang dipanggil dijangka berkhidmat, tetapi ramai orang muda tidak berminat untuk menunggu dan mengetahui perkara itu.

Minggu lalu, imej media tempatan menunjukkan, ratusan orang beratur di luar pejabat pasport di Mandalay.

Fenomena sama turut disaksikan di hab komersial Yangon minggu lalu, apabila ribuan lelaki dan wanita muda beratur di luar kedutaan Thailand untuk mendapatkan visa keluar dari Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 1:56 PM