AUNG San Suu Kyi. FOTO AP
AUNG San Suu Kyi. FOTO AP
AFP

Yangon: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, menjadikan jumlah keseluruhan penjaranya kini 33 tahun.

Suu Kyi, 77, disabitkan bersalah atas beberapa pertuduhan rasuah berkaitan pengambilan, penyenggaraan dan pembelian helikopter untuk menteri, memiliki walkie-talkie secara haram serta melanggar peraturan Covid-19.

Pemenang Hadiah Nobel itu dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun selepas prosiding mahkamah meliputi tempoh 18 bulan.

"Semua kesnya sudah selesai dan tiada lagi pertuduhan terhadapnya," kata sumber itu.

Sumber itu turut memberitahu Suu Kyi dilihat berada dalam keadaan sihat.

Media dihalang daripada menghadiri perbicaraan dan peguam Suu Kyi turut dilarang memberi kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, sumber berkata, Suu Kyi dan bekas presiden Myanmar Win Myint yang turut dijatuhi hukuman bersama Suu Kyi bagaimanapun akan memfailkan rayuan.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta junta membebaskan Suu Kyi dalam resolusi pertamanya mengenai situasi di Myanmar sejak rampasan kuasa.

Profesor Madya Universiti Curtin di Australia, Htwe Htwe Thein menyifatkan tuduhan rasuah itu tidak masuk akal kerana kepimpinannya, tadbir urus atau gaya hidup Suu Kyi tidak menunjukkan gejala rasuah.

Sementara Kumpulan Krisis Antarabangsa Richard Horsey pula mempersoalkan sama ada Suu Kyi akan menjalani hukuman tahanan rumah, atau penjara dengan akses ketat.

Tentera mendakwa berlaku penipuan semasa pilihan raya pada November 2020 yang dimenangi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi, walaupun pemerhati antarabangsa mendakwa pemilihan itu adalah bebas dan adil.

Junta sejak itu membatalkan keputusan berkenaan dan dilaporkan membongkar lebih 11 juta kes penipuan pengundi.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa sehingga mencetuskan protes besar-besaran dan junta bertindak balas secara kejam apabila memusnahkan kampung, melakukan pembunuhan serta serangan udara sehingga menyebabkan lebih sejuta orang hilang tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 11:39 AM