PENUNJUK perasaan membakar penghadang di jalan ketika bantahan terhadap rampasan kuasa tentera Myanmar. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan membakar penghadang di jalan ketika bantahan terhadap rampasan kuasa tentera Myanmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Angka korban akibat demonstrasi bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar kini melepasi 520 orang.

Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) mengesahkan 521 orang awam sudah terkorban setakat malam Selasa, tetapi tidak menolak angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Semalam, penunjuk perasan menghumban sampah di jalanan sebagai tindakan protes terbaru.

Lapan terbunuh pada Selasa termasuk seorang individu berusia 35 tahun di bandar Muse di negeri Shan, manakala mangsa maut lain di Myitkyina di negeri Kachin serta di Mandalay dan Bago, lapor AFP.

Media juga melaporkan kematian penunjuk perasaan di Dagon Selatan, Yangon, manakala pihak berkuasa menyiasat letupan bom di balai polis di bandar Bago yang menyebabkan beberapa individu cedera.

Dalam pada itu, junta tentera turut melancarkan serangan udara yang mengorbankan enam orang di negeri timur, Karen, menurut Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), salah satu kumpulan bersenjata di Myanmar.

Tiga kumpulan pemberontak bersenjata - Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TLNA), Tentera Pakatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dan Tentera Arakan (AA) – mengeluarkan kenyataan bersama dengan memberi amaran untuk tindak balas.

Jika itu berlaku, Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia FIDH) memberi amaran ia akan mengheret negara itu ke kancah perang saudara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 8:32 AM