FOTO fail pada 12 Januari lalu menunjukkan penduduk Palestin yang cedera diletakkan di koridor dalam Hospital Nasser. FOTO Reuters
FOTO fail pada 12 Januari lalu menunjukkan penduduk Palestin yang cedera diletakkan di koridor dalam Hospital Nasser. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan, Hospital Nasser di selatan Gaza, Palestin tidak lagi berfungsi akibat serbuan tentera Israel, lapor BBC.

Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kemudahan itu tidak lagi berfungsi selepas dikepung selama seminggu sebelum diserbu Khamis lalu.

Katanya, WHO tidak dibenarkan memasuki kemudahan itu untuk membuat penilaian.

"Semalam dan sehari sebelumnya, pasukan WHO tidak dibenarkan masuk ke hospital untuk menilai keadaan pesakit dan keperluan perubatan kritikal, walaupun tiba di perkarangan hospital untuk menghantar bantuan bahan bakar bersama rakan kongsi.

"Masih terdapat kira-kira 200 pesakit di hospital. Sekurang-kurangnya 20 perlu dirujuk segera ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana ia hak pesakit," katanya di platform X.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza pula berkata, hanya empat kakitangan perubatan yang tinggal di hospital itu bagi menjaga pesakit yang tinggal.

Satu sumber dalam hospital memberitahu BBC News, 11 pesakit meninggal dunia akibat gangguan bekalan elektrik dan oksigen selain beberapa doktor ditahan.

Sementara itu, tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa,

operasi di Hospital Nasser tepat dan terhad berikutan Hamas menggunakan hospital itu.

Katanya, tiada siapa maut akibat operas itu selain tentera diberitahu untuk memastikan hospital itu beroperasi.

"Bekalan diesel dan oksigen dibawa ke kemudahan itu dengan penjana elektrik sementara sedang beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 1:32 PM