GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New Delhi: Seorang wanita di India yang mengalami kecederaan melecur teruk dan sudah dianggap mati dilaporkan terjaga di dalam van jenazah hanya beberapa ketika sebelum 'jasadnya' dijadualkan akan dibakar di tempat pembakaran mayat.

Bujji Aamma, 52, dari Berhampur, melecur lebih separuh badannya dalam kebakaran rumah pada 1 Februari dan dirawat di Kolej Perubatan dan Hospital MKCG, lapor Times of India.

Keadaannya dilaporkan menjadi lebih teruk tetapi keluarganya yang susah tidak mampu untuk membawanya ke hospital lain.

Pada Isnin, Bujji tidak membuka matanya dan tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas.

"Kami menyangka dia sudah mati dan memaklumkan orang lain di kawasan itu untuk mengatur van jenazah untuk membawa mayat ke tempat pembakaran mayat," kata suaminya, Sibaram Palo, 54.

Seorang wanita, K Chiranjibi, 50, yang menemani wanita itu menaiki van jenazah, berkata mereka hampir selesai menyiapkan jenazah apabila tiba-tiba terjadi peristiwa yang mengejutkan itu.

"Pada masa itu, Bujji membuka matanya dan menjawab panggilan kami," kata Chiranjibi sambil menambah bahawa penduduk tempatan membantu membiayai kos pembakaran mayat.

Katanya, dia berasa takut kerana tidak pernah melihat kejadian sebegitu, walaupun pernah mendengar cerita kejadian seumpamanya.

Pemandu van jenazah Khetrabashi Sahu berkata, dia membawa wanita yang masih hidup itu pulang ke rumahnya dengan kenderaan yang sama untuk bawa Bujji untuk dibakar di tempat pembakaran mayat.

Sumber di pusat pembakaran mayat memberitahu bahawa penduduk tempatan tidak perlu memiliki sijil kematian untuk melakukan upacara terakhir saudara, tetapi ia diperlukan untuk orang luar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:07 PM