ASAP tebal susulan serangan Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
ASAP tebal susulan serangan Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel bakal melakukan serangan berhampiran sempadan utara negara itu dengan Lubnan.

Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan dikerahkan ke utara Israel.

"Mereka akan bertindak tidak lama lagi... jadi pasukan di utara diperkuatkan.

"Pasukan yang dekat dengan anda... sedang meninggalkan lapangan dan bergerak ke arah utara dan bersiap sedia untuk apa yang akan berlaku seterusnya," katanya, semalam.

Beliau berkata, pasukan simpanan akan dikerahkan secara beransur-ansur sebagai persediaan operasi ketenteraan akan datang.

Katanya, pejuang Hamas kehabisan bekalan dan peluru, namun akuinya perang menentang Hamas akan mengambil masa berbulan-bulan lagi.

Sejak meletusnya perang antara Hamas dan Israel pada 7 Oktober, sempadan Lubnan-Israel menyaksikan pertempuran hampir setiap hari antara tentera Israel dan gerakan Hizbullah yang disokong Iran Lubnan, yang juga sekutu Hamas.

Hizbullah semalam mengaku bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 12 serangan ke atas tentera Israel berhampiran sempadan, menggunakan peluru berpandu Falaq-1 dan Burkan buatan Iran.

Tentera Israel dalam kenyataan balas berkata, pihaknya melakukan serangan udara ke atas sasaran Hizbullah di Lubnan.

Lebih 200 kebanyakannya anggota Hizbullah terbunuh disebabkan tembakan Israel di selatan Lubnan sejak 7 Oktober lalu.

Di sebelah sempadan Israel pula, sembilan tentera dan enam orang awam terbunuh, menurut pegawai Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 3:09 PM