GAMBAR daripada video AFPTV menunjukkan pasukan penyelamat Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan sekolah Osama bin Zaid school yang dibom Israel pada Jumaat. FOT0 AFP.
GAMBAR daripada video AFPTV menunjukkan pasukan penyelamat Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan sekolah Osama bin Zaid school yang dibom Israel pada Jumaat. FOT0 AFP.
Agensi

Gaza: Berpuluh rakyat Palestin terbunuh dan cedera, semalam selepas tentera Israel mengebom sekolah yang menempatkan ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal di kawasan al-Saftawi di utara Gaza, menurut media Palestin.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA melaporkan, rejim itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terbaharu dengan mengebom Sekolah Osama Bin Zaid yang bergabung dengan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Sekolah itu menjadi tempat berlindung buat ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal di al-Saftawi dan serangan itu mengakibatkan berpuluh orang terbunuh dan cedera.

Memetik sumber tempatan, agensi itu berkata, ribuan orang berada di dalam sekolah ketika ia dibom.

Korespondan Al-Jazeera melaporkan lebih 20 orang terkorban dalam serangan terbabit.

Serangan pada Jumaat itu dilapor menyusul selepas tiga serangan ke atas hospital di Gaza, iaitu hospital Al-Shifa, Al-Quds dan hospital Indonesia.

Pasukan pendudukan turut menyerang konvoi ambulans yang membawa rakyat Palestin yang cedera ke hospital Al-Shifa.

Jumlah kematian dijangka terus meningkat akibat serangan terbaharu itu.

Tentera Israel meluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, tanpa henti sejak serangan mengejut Hamas pada 7 Okt.

Lebih 10,700 orang terbunuh dalam konflik itu, termasuk sekurang-kurangnya 9,240 rakyat Palestin dan lebih 1,538 warga Israel.

‚Äč

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 9:09 AM