KESAN kemusnahan susulan serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia di Gaza. FOTO Reuters
KESAN kemusnahan susulan serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia di Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: "Tuhanku, Tuhanku. Tiga anak saya semuanya tiada," kata Jaber Hmaid sambil menangis.

Jaber antara ratusan penduduk yang berada di kem pelarian Jabalia di sini, yang rosak teruk akibat serangan tentera Israel pada Selasa lalu, lapor The National News.

Seorang lagi pelarian, Ahmed Ali berkata, mereka kehilangan segala-galanya pada siri terbaharu serangan Israel di kem pelarian Jabalia.

"Semua orang sedang mencari orang tersayang mereka. Kami kehilangan segala-galanya. Rumah dan barang-barang saya hilang, selepas serangan. Hanya Tuhan yang tahu penderitaan kami," katanya.

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan ratusan lagi selain mengakibatkan kerosakan besar di kem berkenaan.

Situasi luar jangka itu membuatkan penduduk menangis dan menjerit mencari orang tersayang.

Di Hospital Indonesia yang tempat mangsa yang cedera dibawa untuk rawatan, mayat dilihat berbalut kain putih dan masih banyak diletakkan di luar bangunan.

Tentera Israel berkata, serangan udara ke atas kem pelarian Jabalia menyasarkan pemimpin Hamas, Ibrahim Biari yang disifatkan mereka sebagai salah seorang yang bertanggungjawab bagi serangan pada 7 Oktober lalu.

Sebelumnya, Israel dilapor beberapa kali memberi amaran kepada penduduk Gaza supaya berpindah dari kawasan utara ke selatan untuk keselamatan, namun terus melancarkan serangan di selatan.

Rentetan itu, perkhidmatan Internet dan telefon terputus di seluruh Semenanjung Gaza pada Rabu. Ia menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi keluarga atau menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Sementara itu, Penasihat Media Timur Tengah ICRC Jessica Moussan berkata, penduduk di kem pelarian Jabalia sudah melalui kehidupan yang sukar sebelum peperangan bermula lagi.

"Ini adalah komuniti di Gaza yang hidup dalam keadaan sukar dan mengalami pelbagai kekurangan walaupun sebelum perang. Di sini, orang awam dan infrastruktur penting mereka dilindungi oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Angka korban bagi konflik ini semakin meningkat dari semasa ke semasa dan kami menyeru pihak berkenaan untuk menyelamatkan orang awam daripada terus terdedah dengan bahaya," katanya.

Seorang pegawai Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah pula berkata, keadaan di kem pelarian Jabalia dengan hampir 120,000 penduduk itu amat mendukacitakan.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 195 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia di Gaza pada Selasa dan Rabu, kata pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas.

Kira-kira 120 masih hilang di bawah runtuhan, dan sekurang-kurangnya 777 lagi cedera, kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 11:18 AM