KERETA peronda polis Israel memantau jalan di sekitar Baitulmaqdis. FOTO AFP
KERETA peronda polis Israel memantau jalan di sekitar Baitulmaqdis. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Ramai warga Palestin yang bekerja di Tebing Barat yang dijajah Israel, terkandas di kawasan itu akibat pertempuran antara rejim zionis dan pejuang Islam di Gaza, sejak Sabtu lalu.

Seorang daripadanya, Abderrahman Balata, 42, berkata, dia bersama pekerja Palestin lain duduk di bilik hotel bertaraf satu bintang sambil menonton berita mengenai pertempuran di Gaza.

Balata berkata, dia memutuskan untuk meninggalkan Tel Aviv tempat di mana dia bekerja sebagai juruelektrik kerana takut menjadi mangsa tentera Israel.

"Saya bersama tiga pekerja lain meninggalkan Israel dengan menaiki teksi. Tidak ada cara untuk kami masuk ke Gaza yang kini berada di bawah kepungan Israel sepenuhnya. Sebab itu, kami pergi ke Tebing Barat.

"Saya tidak kenal sesiapa di sini selain kehadiran kami tidak diterima. Jadi kami pergi ke bangunan muhafazah dan mereka meletakkan kami di hotel ini. Di bangunan ini puluhan pekerja dari Semenanjung Gaza duduk di dalam bilik, menunggu untuk dipindahkan," katanya.

Seorang lagi pekerja, Bassem Katarana, 41, berkata, keluarganya memberitahu bahawa anaknya Suhail, 23, mati syahid akibat terkorban dalam serbuan udara di kem pelarian Jabalia di Gaza.

Katarana menceritakan tentera Israel menyerbu tempat kerjanya di bandar Ghadira ketika dia sedang tidur, merampas telefon dan kertas, mengambil cap jarinya sebelum kertas diserahkan semula dan kemudian meninggalkannya di pusat pemeriksaan di jalan yang menuju ke Ramallah.

"Isteri saya terkandas di Arish (Mesir). Kami berharap dapat berjumpa dengan anak sebelum dia dikebumikan," katanya.

Pejuang Hamas melakukan operasi mengejut terhadap Israel pada Sabtu dengan memecah tembok di Gaza sebelum membunuh lebih 1,000 orang di Israel, yang kemudiannya bertindak balas dengan artileri dan serangan udara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 900 terbunuh di kawasan Palestin.

Susulan serangan itu, Israel menyekat Gaza, yang menempatkan kira-kira 2.3 juta orang di mana lebih 50 peratus daripadanya menganggur, sejak Hamas mengambil alih kawalan di sana pada 2007, yang menyaksikan empat peperangan.

Cogat, sebuah unit Kementerian Pertahanan Israel, bertanggungjawab terhadap pentadbiran pendudukannya di wilayah Palestin berkata. pihaknya mengeluarkan kira-kira 18,500 permit kerja kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pejabat Buruh Palestin, yang bertanggungjawab terhadap pekerja Palestin di Israel, melaporkan pengusiran puluhan pekerja Palestin dari tempat kerja mereka sejak permulaan krisis terbaharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:17 PM