ASAP tebal susulan serangan udara di Gaza pada 9 Oktober. foto Reuters
ASAP tebal susulan serangan udara di Gaza pada 9 Oktober. foto Reuters
AFP

Riyadh: Putera Mahkota Mohammed bin Salman memberitahu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bahawa beliau berusaha membendung pertempuran daripada menjadi lebih buruk selepas serangan mengejut pejuang Hamas ke atas Israel, menurut media rasmi kerajaan Arab Saudi.

Memetik Agensi Akhbar Saudi, Putera Mohammed juga memberitahu Abbas bahawa negara itu terus "berdiri bersama rakyat Palestin untuk mencapai hak sah mereka untuk kehidupan yang layak, mencapai harapan dan aspirasi dan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.

Susulan serangan darat, udara dan laut oleh pejuang Palestin yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Israel mendakwa kematian di pihak mereka mencecah 800 orang mati dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza yang telah meningkatkan jumlah kematian di sana kepada 687 orang.

Keganasan yang semakin meningkat bermula di tengah-tengah spekulasi bahawa Arab Saudi, yang tidak pernah mengiktiraf Israel, akan bersetuju untuk menormalisasikan hubungan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang mana ia akan mendapatkan jaminan keselamatan daripada Amerika Syarikat serta bantuan membangunkan program nuklear awam.

Bagaimanapun, Putera Mohammed memberitahu Fox News bulan lalu bahawa isu Palestin adalah "sangat penting" bagi Arab Saudi, rumah kepada tapak paling suci dalam Islam di Makkah dan Madinah.

"Kita perlu selesaikan bahagian itu. Kita perlu meringankan kehidupan rakyat Palestin," kata Putera Mohammed.

Penganalisis berkata, sebarang kemajuan ke arah normalisasi kini telah menerima tamparan hebat oleh pertempuran yang berterusan.

Putera Mohammed juga bercakap mengenai krisis ini melalui telefon dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Jordan Abdullah II, lapor SPA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 10:29 AM