TAWARAN itu dibuat ketika pertemuan Abbas (kanan) dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman. FOTO Agensi
TAWARAN itu dibuat ketika pertemuan Abbas (kanan) dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman. FOTO Agensi
Agensi

BEIRUT: Arab Saudi dilapor menawarkan AS$10 bilion (RM41.4 bilion) kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas supaya menerima penyelesaian damai dicadangkan Amerika Syarikat yang digelar ‘penyelesaian abad ini.’

Menurut laporan akhbar Lubnan, Al-Akhbar kelmarin, tawaran itu dibuat ketika pertemuan Abbas dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, baru-baru ini.

Menurut Middle East Monitor (MEE), akhbar itu mendakwa, berdasarkan maklumat diterimanya, Mohammed memberi taklimat kepada Abbas mengenai penyelesaian itu dan memintanya menerima tawaran itu.

Mohammed dikatakan bertanya kepada Abbas: “Berapa anggaran perbelanjaan tahunan kumpulan pembantu anda?

Abbas menjawab: “Saya bukan putera raja untuk memiliki kumpulan pembantu.”

Mohammed Salman kemudian menawarkan AS$10 bilion dalam tempoh 10 tahun jika Abbas menerima tawaran pelan damai Amerika dan kerajaan Palestin berpangkalan di Abu Dis, bukannya Baitulmaqdis yang dijajah Israel.

Abu Dis adalah perkampungan Palestin ditadbir agensi PA, Pejabat Gabenor Baitulmaqdis yang bersempadan dengan Baitulmaqdis.

Abbas bagaimanapun dilaporkan menolak tawaran itu dengan berkata, kehidupan politiknya akan berakhir jika beliau menerimanya.

MEE melaporkan, pegawai PA di Ramallah enggan mengulas mengenai pendedahan itu.

Abbas dikatakan memberitahu Mohammed bahawa keadaan tidak memungkinkan beliau menerima bayaran pampasan di luar undang-undang selain daripada penyelesaian dua negara serta Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Pada 23 April lalu, penasihat kanan Presiden Amerika, Jared Kushner berkata, pelan damai Amerika akan diketahui selepas Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:04 AM