Ketut (kiri) ditahan selepas kejadian. FOTO BALI EXPRESS
Ketut (kiri) ditahan selepas kejadian. FOTO BALI EXPRESS
Jawa Pos

BERANG dengan tindakan jiran mengotorkan perkarangan rumahnya, seorang lelaki nekad melibas individu berkenaan dengan sabit hingga parah di bahagian kepala dalam kejadian di Desa Bongan, Tabanan, Bali, semalam.

Sebelum kejadian, suspek, Ketut Pastika, 44, dikatakan sudah memberi amaran kepada jirannya, Wayan Ruja, 64 supaya menghentikan perbuatan itu namun tidak diendahkan.

Sikap tidak peduli itu menyebabkan dia hilang sabar lalu menghayun sabit ke arah mangsa yang secara kebetulan melintasi kawasan rumahnya.

“Akibat kejadian itu, mangsa koyak kulit kepala pada bahagian kanan. Dia kemudiannya dihantar ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala.

“Bagaimanapun, dia dibenarkan keluar tidak lama selepas itu manakala suspek ditahan sejurus kejadian,” kata Ketua Polis Sektor Surya Atmajad.

Menurut Surya, suspek dalam keterangannya memberitahu tindakan itu bukan kerana dendam terhadap mangsa selain mengaku tidak mempunyai sebarang pertalian saudara antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 2:03 PM