Lapangan Terbang Anna di Chennai. FOTO AFP
Lapangan Terbang Anna di Chennai. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Pegawai kastam India mendakwa 113 penumpang dalam penerbangan yang tiba dari Muscat, Oman, di lapangan terbang di Chennai, selepas mereka didapati menyeludup barangan bernilai kira-kira RM7.9 juta.

Gulf News melaporkan, tertuduh adalah sebahagian besar daripada 186 penumpang yang menaiki penerbangan itu.

Mereka juga sebahagian daripada rangkaian penyeludupan yang memperdagangkan emas dan peranti elektronik bernilai tinggi.

Kumpulan itu dipercayai menawarkan kepada penumpang untuk menyeludup barangan berkenaan dengan menjanjikan mereka dengan komisen, di samping hadiah coklat dan minyak wangi.

Berikutan maklumat adanya lebih 100 penumpang menyeludup sejumlah besar emas, telefon bimbit, komputer riba, dan safron dalam penerbangan, pegawai kastam menahan semua penumpang dan menyoal siasat mereka selama berjam-jam.

Salah seorang penumpang memberitahu bahawa dia menerima telefon yang diserahkan kepadanya oleh penumpang lain dalam penerbangan itu, dan dijanjikan komisen, coklat, dan barang-barang lain sebaik telefon itu dipulangkan di lapangan terbang di Chennai.

Selepas soal siasat, 73 penumpang dibebaskan, manakala polis kemudiannya memeriksa 113 penumpang lain.

Penumpang lain itu didapati menyembunyikan ketulan emas dan gelang emas di dalam seluar dalam mereka.

Ketika pemeriksaan bagasi dan beg, polis menemukan banyak ruang rahsia digunakan untuk menyembunyikan 13 kilogram emas, 120 iPhone, 84 telefon Android, rokok dan komputer riba.

Kesemua 113 penumpang yang terbabit kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 11:43 AM