GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Canberra: Seorang lelaki di Australia menyaman sebuah hospital Melbourne selepas didakwa membenarkan dia masuk ke bilik pembedahan yang menyebabkannya mengalami gangguan mental.

Oddity Central melaporkan, pada Januari 2018, isteri Anil Koppula melahirkan bayi yang sihat melalui pembedahan di Hospital Wanita Diraja di Melbourne.

Koppula dibenarkan masuk ke bilik bedah ketika prosedur itu, dan melihat organ dan darah isterinya sehingga didakwa menyebabkan timbulnya penyakit psikotik.

Selepas beberapa tahun, Koppula memfailkan saman sebanyak 1 bilion dolar Australia (kira-kira RM3 bilion) terhadap hospital itu sebagai ganti rugi psikologi.

Koppula yang mewakili dirinya ketika prosiding undang-undang mendakwa hospital itu melanggar kewajipan penjagaan.

Dakwanya, penyakit psikotik itu juga menjadi punca keretakan rumah tangganya.

Hospital Wanita Diraja mengakui mempunyai tanggungjawab menjaga Koppula, tetapi menegaskan pihaknya tidak melanggar peraturan

Sebaliknya, pihak hospital mendakwa wanita sangat kerap dibenarkan membawa pasangan atau ahli keluarga mereka di dalam bilik dengan mereka ketika menjalani pembedahan untuk sokongan.

Keluarga diberi peringatan mengenai butiran prosedur dan diminta untuk tidak mengganggunya dalam apa cara sekalipun.

Koppula menjalani pemeriksaan perubatan yang menentukan tahap gangguan psikiatri dialaminya.

Plaintif tidak bersetuju dengan penilaian tetapi tidak memohon untuk semakan semula penentuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 4:00 PM