GAMBAR kenangan Michelle (kanan) yang didakwa maut dibunuh oleh pasangannya, Coman (kiri). FOTO Agensi
GAMBAR kenangan Michelle (kanan) yang didakwa maut dibunuh oleh pasangannya, Coman (kiri). FOTO Agensi
Agensi

Melbourne: Hubungan 'toksik' dipercayai punca seorang wanita yang hamil tiga bulan di Bayswater Utara, Melbourne di Australia, dibunuh pasangannya.

Mirror UK melaporkan, mangsa, Michelle Michelle Darragh, 32, dipercayai dibunuh ketika mengambil baju di rumah pasangannya itu, Benjamin Coman, 29.

Lebih menyedihkan, Michelle dibunuh tiga minggu selepas dia menyelamatkan lelaki berkenaan daripada insiden yang hampir meragut nyawa pasangannya itu.

Dalam kejadian pada 9 Oktober, Michelle dikatakan meninggalkan anak bersama ibu dan bapa untuk ke rumah lamanya.

Awal hari kejadian, Michelle meminta nasihat undang-undang dan menghantar mesej kepada Coman mengarahkannya untuk memindahkan wang ke akaunnya.

Ibu bapanya semakin risau apabila Michelle tidak pulang dan gagal menjawab panggilan telefon.

Kira-kiranya jam 7 malam, bapanya, Ashley, ke rumah lama Michelle kemudian mengetuk pintu tetapi tiada respons diterima.

Ashley kemudian masuk ke rumah dan ke bilik tidur sebelum menemui jasad anak perempuannya dalam keadaan tidak bernyawa bersama Coman.

Michelle mengalami beberapa luka tikaman, manakala Coman mengalami kecederaan pisau di perutnya.

Lelaki itu kemudian menghubungi ambulans dan isterinya. Sebaik pasukan kecemasan tiba, mereka menyatakan Michelle dan anak dalam kandungannya meninggal dunia namun Coman masih hidup.

Coman dibawa ke hospital dan diletakkan di bawah kawalan ketika menjalani pembedahan.

Pegawai penyiasat percaya Coman yang menikam Michelle dan mencederakan dirinya sendiri. Ketika disoal siasat, Coman mengakui melakukan pembunuhan itu.

Keluarga dan rakan Michelle tidak percaya bahawa wanita itu dibunuh oleh seorang lelaki yang mereka percaya.

Pihak pendakwaan berkata, Michelle mengalami serangan berterusan sebelum maut ditikam di belakang dengan pisau berukuran 20 sentimeter (sm).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 3:25 PM