SUNGAI Mekong di Chiang Rai, utara Thailand yang bersempadan dengan Laos. FOTO fail AFP
SUNGAI Mekong di Chiang Rai, utara Thailand yang bersempadan dengan Laos. FOTO fail AFP
BERNAMA

Vientiane: Laos terjejas teruk akibat kejadian banjir dan tanah runtuh sehingga memusnahkan ladang, kediaman dan harta benda, serta menjejaskan beribu-ribu rakyatnya.

Hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa wilayah manakala jalan raya di beberapa tempat rosak akibat tanah runtuh, lapor Xinhua.

Dua orang maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Bolikhamxay pada 4 Ogos, manakala mayat seorang warga Vietnam ditemui tertimbus di wilayah Khammuan pada Isnin, menurut Laophattana Daily News pada Isnin.

Hujan dijangka berlanjutan di seluruh negara, menyebabkan paras air sungai terus meningkat dan melimpah, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli Laos.

Gabenor daerah VangVieng, Bounchan Malavong, memberitahu media bahawa Lebuhraya Nasional 13 Utara rosak teruk, menjejaskan pergerakan kenderaan di wilayah itu, dan beberapa perkhidmatan pelancongan turut terjejas.

Vangvieng, sebuah bandar pelancongan di utara Vientiane, menyaksikan hujan lebat pada pagi Isnin, menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan di daerah itu.

Beberapa kawasan ditenggelami air, menjadikan hampir mustahil untuk kenderaan melaluinya, menurut laporan Laopattana.

Beratus-ratus kampung di seluruh Laos sedang bergelut menghadapi banjir selepas hujan lebat melanda beberapa hari lalu.

Pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi lain sedang bekerja keras untuk memenuhi keperluan paling mendesak mangsa banjir dan mengerahkan pasukan untuk menyokong usaha bantuan segera.

Sungai Mekong menghampiri paras bahaya di beberapa tempat. Orang ramai yang tinggal di sepanjang tebing sungai diberi amaran supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah, jika perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 3:46 PM