TANGKAP layar dari video menunjukkan paras air di Gonokawa meningkat susulan hujan lebat di bandar Akitakata, Hiroshima. FOTO AFP.
TANGKAP layar dari video menunjukkan paras air di Gonokawa meningkat susulan hujan lebat di bandar Akitakata, Hiroshima. FOTO AFP.
AFP

Tokyo: Puluhan ribu rakyat diminta berpindah hari ini susulan hujan lebat luar biasa dijangka melanda barat Jepun, yang meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh, kata agensi kaji cuaca.

Hujan lebat dijangka berterusan beberapa hari di sebahagian kawasan di negara itu dari wilayah utara Tohoku ke selatan, Kyushu.

"Kemungkinan bencana akan berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang," kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam sidang media mengejut yang disiarkan secara langsung menerusi penyiar awam NHK.

Di bandar Unzen yang terletak di wilayah Selatan Nagasaki, dua rumah dilanda tanah runtuh dan seorang wanita berusia 50-an dikhuatiri maut, kata pihak berkuasa tempatan kepada AFP.

Hujan lebat berlaku di wilayah Hiroshima, yang mana arahan berpindah tidak wajib dikeluarkan kepada kira-kira 69,500 penduduk dan amaran banjir besar dikeluarkan.

"Di bandar Hiroshima, kami mengeluarkan amaran khas mengenai hujan lebat. Hujan lebat ini tidak pernah dialami sebelum ini," kata JMA dalam kenyataan.

Pegawai agensi itu berkata, hujan di beberapa kawasan juga dalam situasi 'luar jangka' dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

JMA berkata, dalam tempoh 14 jam dari 6 pagi Jumaat, 300 milimeter hujan dijangka

di bahagian utara Kyushu, dan antara 200 hingga 200 milimeter dijangka di beberapa kawasan lain di negara itu.

Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan turut memberi amaran, bahawa paras air di tiga sungai sangat tinggi yang mana dua mengalir melalui wilayah Hiroshima dan satu ke selatan Kumamoto.

Saintis berkata, perubahan iklim meningkatkan risiko hujan lebat di Jepun dan kawasan lain kerana atmosfera panas menahan lebih banyak air.

Hujan bulan lalu menyebabkan kejadian tanah runtuh di bandar peranginan Atami menyebabkan 21 terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 12:24 PM