Sungai Mekong
Sungai Mekong
Bernama-Xinhua

Vientiane: Paras air Sungai Mekong dijangka terus meningkat ke paras berbahaya selepas hujan lebat selama beberapa hari di seluruh Laos, dengan penduduk yang tinggal di sepanjang tebing diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk berpindah jika perlu.

Paras Sungai Mekong di ibu negara Laos Vientiane direkodkan pada 11.23 meter pada Rabu, berbanding paras amaran 11.50 meter dan paras bahaya 12.50 meter, menurut kemas kini yang dikeluarkan pada Rabu oleh Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Laos, lapor Xinhua.

Sungai itu melimpahi tebingnya dan perlahan-lahan membanjiri beberapa kawasan rendah di kampung Sithantay di daerah Hadxaifong di ibu negara.

Hujan lebat dan renyai telah diramalkan di seluruh negara Asia Tenggara, yang dijangka mengakibatkan peningkatan paras air Sungai Mekong dan anak sungai utamanya.

Paras Sungai Mekong di daerah Pakxan wilayah Bolikhamxay direkodkan pada 10.46 meter pada Rabu, dengan paras amaran pada 13.50 meter dan paras bahaya pada 14.50 meter.

Di wilayah Luang Prabang, paras Sungai Mekong dijangka meningkat daripada 14.33 meter pada Khamis kepada 14.43 meter pada Jumaat.

Pihak berkuasa Laos sedang memantau Sungai Mekong dan anak sungainya sejak paras airnya dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang.

Jabatan itu menasihatkan pegawainya untuk memantau paras air dengan teliti dan mengeluarkan amaran banjir apabila perlu, supaya orang ramai di kawasan berisiko dapat bersedia untuk mengurangkan kesan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 6:01 PM