Hajar Umira Md Zaki

Subang Jaya: Sesi persekolahan yang bakal bermula minggu depan menyaksikan ramai ibu bapa menggunakan kesempatan yang ada untuk membeli peralatan perbelajaran anak.

Jururawat, Hafiza Muhammad Yazid, 43, berkata, dia kini menambah kelengkapan persekolahan dua anaknya dengan membeli beberapa peralatan baru termasuk pakaian seragam.

"Anak saya berusia 11 dan 16 tahun sebelum ini hanya memakai baju T ke sekolah.

"Namun oleh kerana mereka perlu memakai pakaian seragam, jadi ada pakaian yang sudah kecil berbanding saiz badan mereka dan perlu ditukar.

"Kelengkapan ini boleh menaikkan semangat mereka untuk kembali ke sekolah dan belajar bersama kawan-kawan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

KELIHATAN ibu-bapa membuat persiapan memilih beg pakaian untuk anak mereka untuk ke sesi persekolahan yang akan dibuka pada Isnin hadapan. FOTO Hairul Anuar Rahim
KELIHATAN ibu-bapa membuat persiapan memilih beg pakaian untuk anak mereka untuk ke sesi persekolahan yang akan dibuka pada Isnin hadapan. FOTO Hairul Anuar Rahim

Kakitangan swasta, Mohd Hafiz Baharudin, 36, berkata, dia teruja kerana salah seorang anaknya bakal memasuki tahun satu tidak lama lagi.

"Kami membeli semua kelengkapan baharu memandangkan ini adalah persekolahan pertama kali buatnya dan juga menambah kelengkapan yang patut untuk abangnya berusia 12 tahun," katanya.

Bagi Nur Anna Dahlia Goonting, 27, dia turut seronok dan berdebar dengan persekolahan yang bakal bermula minggu depan.

"Memandangkan anak saya bakal masuk ke tahun satu, jadi memang banyak keperluan untuk dibeli seperti baju dan kasut.

"Keperluan seperti beg sekolah dan alat tulis sudah dibeli dan kini tinggal pakaian dan kasut sekolah sahaja yang masih belum dibeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:21 PM