PENGUNJUNG sebuah pasar di Bangalore, India. FOTO AFP
PENGUNJUNG sebuah pasar di Bangalore, India. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Lancet menganggarkan bahawa 101 juta penduduk di India atau 11.4 peratus daripada populasi negara itu menghidap diabetes.

BBC melaporkan, satu tinjauan yang ditugaskan oleh kementerian kesihatan juga mendapati bahawa 136 juta orang atau 15.3 peratus populasi pula hidup dengan pradiabetes.

Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam The Lancet Diabetes and Endocrinology, dianggap sebagai yang pertama merangkumi secara komprehensif setiap negeri untuk menilai beban penyakit tidak berjangkit negara.

Penyelidik berkata, pihaknya mendapati bahawa kelaziman diabetes dalam populasi India adalah lebih tinggi daripada yang dianggarkan sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menganggarkan 77 juta penduduk India menghidap diabetes, dan hampir 25 juta adalah pradiabetes, berisiko lebih tinggi untuk menghidap diabetes dalam masa terdekat.

"Ia adalah bagaikan bom jangka yang sedang berdetik," Dr RM Anjana, pengarang utama kajian dan pengarah urusan di Pusat Kepakaran Diabetes Dr Mohan ketika menjelaskan kepada akhbar The Indian Express.

"Jika anda mempunyai pradiabetes, penukaran kepada diabetes adalah sangat cepat dalam populasi kita; lebih daripada 60 peratus orang yang mempunyai pradiabetes akhirnya bertukar kepada diabetes dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Kajian selama sedekad itu dijalankan oleh Yayasan Penyelidikan Diabetes Madras bersama Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) dan membabitkan 113,000 peserta berusia lebih 20 tahun dari setiap negeri di India.

Data yang dikumpul pada tahun 2008 diekstrapolasi untuk tahun 2021 menggunakan demografi dalam Tinjauan Kesihatan Keluarga Kebangsaan terkini, tinjauan isi rumah paling komprehensif mengenai petunjuk kesihatan dan sosial oleh kerajaan.

Kelaziman tertinggi diabetes diperhatikan di Goa (26.4 peratus), Puducherry (26.3 peratus) dan Kerala (25.5 peratus).

Kajian itu memberi amaran tentang peningkatan mendadak dalam diabetes di negeri seperti Uttar Pradesh, Madhya Pradesh, Bihar dan Arunachal Pradesh di mana kelaziman lebih rendah.

Berdasarkan kajian turut mendapati diabetes lebih kerap berlaku di bandar berbanding kawasan luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 12:40 PM