KETUA perniagaan Pfizer, Jeff R Bote (dari kiri), Dr Mafauzy dan Dr Salil pada majlis pengumuman kajian terbaru mengenai DPN yang menyakitkan.
KETUA perniagaan Pfizer, Jeff R Bote (dari kiri), Dr Mafauzy dan Dr Salil pada majlis pengumuman kajian terbaru mengenai DPN yang menyakitkan.
Hajahfarhana Tarmudi


Adakah anda dalam kalangan pesakit kencing manis? Pernahkan anda berasa panas, kebas seperti terkena kejutan elektrik, kesakitan yang berdenyut-denyut, pedih atau rasa mencucuk-cucuk di bahagian kaki?

Jika ya, segeralah lakukan pemeriksaan. Ini kerana sesetengah pesakit kencing manis sering menyalah tafsir gejala yang dialami itu sebagai tanda penuaan.

Kesakitan atau kebas pada anggota badan berkemungkinan menunjukkan kewujudan masalah neuropati periferal diabetes yang menyakitkan (DPN) yang boleh menjadi petunjuk kepada komplikasi lebih serius seperti penyakit kaki diabetes.

Cadangan Amalan Klinikal Persatuan Diabetes Amerika (ADA) 2015 supaya semua pesakit kencing manis seharusnya menjalani pemeriksaan untuk mengesan DPN bermula daripada diagnosis kencing manis jenis 2 dan lima tahun selepas diagnosis diabetes jenis 1 atau sekurang-kurangnya selepas diagnosis.

Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata, DPN ialah kesakitan yang dialami pesakit yang mengalami kerosakan saraf akibat kencing manis - salah satu komplikasi yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit diabetes.

“Tahap penularan kencing manis termasuk kerosakan saraf akibat diabetes semakin meningkat dengan ketara di negara ini dan di seluruh Asia.

“Justeru, diagnosis awal dan pengurusan yang tepat pada waktunya sangat mustahak. Di samping itu, peranan pegawai perubatan am dan terutama pakar endokrinologi sangat penting memandangkan mereka adalah pihak pertama dihubungi pesakit diabetes,” katanya.

Ujarnya, mengabaikan pengurusan kesakitan kerosakan saraf boleh menjurus ke tahap peringkat kesakitan yang teruk dan boleh menjejaskan aktiviti harian, menyebabkan gangguan tidur dan status kesihatan yang kurang baik.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), seorang daripada lima rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit kencing manis.

Tahap penularannya juga meningkat 51 peratus dalam tempoh sembilan tahun iaitu daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 17.5 peratus pada 2015.

“Bagi menguruskan keadaan seperti DPN yang menyakitkan, pesakit perlu mematuhi pelan rawatan rapi termasuk mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat, mengambil ubatan seperti ubat tahan sakit, antineuropatik dan antikemurungan.

“Selain itu, pesakit seharusnya mengamalkan pengurusan stres untuk mencegah kesakitan daripada menjadi lebih teruk. Lakukan pemeriksaan susulan yang tetap dengan doktor.

“Pada masa sama, bincang masalah kesakitan dari semasa ke semasa dan memastikan pelan pengurusan kesakitan dapat mengurangkan gejala di samping membantu memperbaiki kualiti kehidupan keseluruhan pesakit,” katanya.

Kajian terkini DPN

Keputusan tinjauan Pfizer mengenai DPN yang menyakitkan diumumkan baru-baru ini bagi menilai persepsi pesakit dan doktor di Asia terhadap kerosakan saraf periferi akibat penyakit kencing manis.

Kajian itu dilakukan ke atas 500 pesakit dan 500 pegawai perubatan di lima negara termasuk Hong Kong, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Thailand.

Kajian berkenaan sebahagian daripada usaha berterusan jenama terbabit untuk menilai persepsi dan amalan klinikal semasa dalam pengurusan DPN yang menyakitkan di samping bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai masalah itu.

Ketua Perubatan Serantau, Terapi Kesakitan, AfME dan Hal Ehwal Perubatan Asia, Kesihatan Inovatif Pfizer, Dr Salil Prakesh Shinde berkata, secara umum, pesakit di Asia mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap DPN yang menyakitkan. Justeru, kami bertekad meningkatkan kesedaran ini dalam kalangan pesakit dan doktor di rantau ini.

“Di samping itu, pihak kami juga berharap melalui laporan kajian ini dapat menggalakkan komunikasi yang lebih baik antara pesakit dan doktor, sekali gus memupuk persekitaran yang membolehkan kedua-duanya berbincang secara terbuka mengenai kesakitan.

“Pada masa sama, ia memudahkan pesakit mendapatkan bantuan pada bila-bila masa. Justeru, kami akan meneruskan usaha untuk menyumbang ke arah penambahbaikan dalam isu diagnosis dan pengurusan DPN yang menyakitkan,” katanya.

Laporan berkenaan menunjukkan seorang daripada empat pesakit diabetes berkemungkinan mengalami DPN yang menyakitkan dengan gejala termasuk kekebasan, kepanasan dan rasa pedih seperti mencucuk-cucuk.

Kajian berkenaan turut melaporkan secara purata pesakit di negara ini menunggu setahun tujuh bulan selepas mengalami gejala kesakitan buat kali pertama sebelum berbincang dengan doktor mereka mengenai masalah yang dialami.

Kira-kira 68 peratus daripada pesakit tidak menyedari kencing manis boleh menyebabkan DPN yang menyakitkan manakala 74 peratus bimbang mengenai kos rawatan tambahan dan 55 peratus lagi berkata, tempoh terhad untuk bercakap dengan doktor menghalang mereka membincangkan mengenai isu kesakitan kronik itu.

Secara purata tempoh yang diambil antara perbincangan awal hingga diagnosis adalah kurang daripada tiga bulan. Kajian ini mendedahkan kebanyakan doktor tidak membincangkan kesakitan berkaitan kencing manis hinggalah pesakit membangkitkan masalah itu.

Kira-kira 53 peratus pegawai perubatan dan 77 peratus pesakit yang ditemu bual bersetuju pesakit adalah pihak yang lazimnya memulakan perbualan mengenai DPN yang menyakitkan.

Lebih mengejutkan hanya 43 peratus pegawai perubatan yang ditemu bual bertindak secara proaktif melakukan pemeriksaan untuk DPN yang menyakitkan kepada pesakit diabetes.

Kajian ini juga mendapati DPN yang menyakitkan menjejaskan kualiti kehidupan pesakit. Melalui kajian berkenaan, tiga isu utama berkaitan DPN yang menyakitkan memberi kesan terhadap pesakit.

Antaranya ialah masalah tidur (60 peratus), kekurangan upaya melakukan senaman (62 peratus) dan kebimbangan (60 peratus). Kira-kira 90 peratus pegawai perubatan dari Malaysia yang dikaji menyatakan kesakitan itu memberi kesan serius dan mungkin sangat serius terhadap kualiti kehidupan pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 5:51 AM