PENYANYI, Avril Lavigne, antara yang pernah mendedahkan dijangkiti penyakit Lyme. FOTO AFP
PENYANYI, Avril Lavigne, antara yang pernah mendedahkan dijangkiti penyakit Lyme. FOTO AFP
AFP

Paris: Lebih 14 peratus penduduk dunia pernah menghidap penyakit Lyme iaitu penyakit bawaan kutu yang paling biasa, menurut tinjauan utama penyelidikan yang diterbitkan pada Selasa.

Eropah Tengah mempunyai kadar jangkitan tertinggi dengan 20 peratus, manakala lelaki berusia lebih 50 tahun yang tinggal di kawasan luar bandar paling berisiko, demikian kajian dalam jurnal BMJ Global Health.

Keadaan itu jarang membawa maut, tetapi orang yang digigit kutu yang dijangkiti sering mendapat ruam dan mengalami gejala seperti selesema termasuk sakit otot dan sendi, sakit kepala, loya dan muntah.

Untuk mengetahui betapa biasa penyakit Lyme di seluruh dunia, penyelidik mengumpulkan data daripada 89 kajian.

Bakteria Borrelia Burgdorferi yang menyebabkan penyakit itu ditemukan di dalam darah 14.5 peratus daripada hampir 160,000 jumlah peserta.

"Ini adalah kajian sistematik yang paling komprehensif dan terkini mengenai kelaziman penyakit di seluruh dunia," kata penyelidik.

Selepas Eropah Tengah, kawasan yang mempunyai kadar antibodi tertinggi ialah Asia Timur dengan 15.9 peratus, Eropah Barat (13.5 peratus) dan Eropah Timur (10.4 peratus).

Negara Caribbean pula mempunyai kadar terendah dengan hanya dua peratus.

Kajian terdahulu menunjukkan kelaziman penyakit bawaan kutu meningkat dua kali ganda dalam tempoh 12 tahun yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 11:35 AM