ZAITOON (kiri) bersama Mustaffa, Narimah (tiga dari kiri) dan Suhaimi.
ZAITOON (kiri) bersama Mustaffa, Narimah (tiga dari kiri) dan Suhaimi.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Kajian yang dijalankan oleh Institut Diabetes Kebangsaan (Nadi) melalui program pendidikan dan kesedarannya mendapati pradiabetes, kolesterol tinggi dalam darah dan kegemukan melampau antara masalah kesihatan utama dihadapi kaum Orang Asli.

Secara tidak langsung, keadaan itu meletakkan kaum terbabit dalam risiko lebih tinggi untuk menghadapi masalah penyakit kesihatan seperti penyakit kardiovaskular dan diabetes.

Pengerusi Eksekutif Kehormat Nadi Profesor Emeritus Datuk Dr Mustaffa Embong berkata, kajian yang dijalankan antara 2011 hingga 2014 itu menjadi saksi bahawa strategi efektif perlu dirangka oleh pihak berkuasa bagi menangani masalah itu secepat mungkin.

Menurutnya, masalah pradiabetes yang ditemui dalam kalangan masyarakat orang Asli didapati berada pada tahap lebih tinggi berbanding laporan yang dibuat oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2011.

“Pradiabetes adalah keadaan yang menunjukkan seseorang akan menjadi penghidap diabetes dan mereka yang mengalaminya lebih berisiko mendapat penyakit kardiovaskular.

“Lebih membimbangkan, masalah kegemukan melampau dan kolesterol tinggi dalam darah dalam kalangan Orang Asli juga meningkat, masing-masing 21.7 peratus dan 37.2 peratus berbanding masyarakat lain,” katanya.

Turut hadir, Ahli Majlis Pentadbiran Yayasan Sime Darby, Datin Paduka Zaitoon Othman; wakil Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Narimah Nor Yahaya dan Naib Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Suhaimi Mahmud.

Pada 2010, Yayasan Sime Darby (YSD) menaja RM1.34 juta bagi menjayakan program selama empat tahun, YSD-Nadi On-Wheels dengan kerjasama Nadi, JAKOA dan Kementerian Kesihatan.

Program berkenaan bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti Orang Asli di kawasan Semenanjung Malaysia mengenai isu kesihatan.

Pada masa sama, satu kajian dijalankan membabitkan populasi Orang Asli di Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Kelantan.

Seramai 1,382 individu dari 15 perkampungan Orang Asli menjalani pemeriksaan kesihatan yang juga sebahagian aktiviti program berkenaan.

Pengerusi YSD Tun Musa Hitam berkata, tajaan yang diberikan YSD adalah untuk memperkasakan komuniti kecil supaya mereka menguruskan kesihatan dengan lebih baik menerusi pendidikan dan kesedaran.

Katanya, menerusi program yang dijalankan itu, komuniti Orang Asli kini memiliki pengetahuan yang cukup supaya mereka dapat menguruskan kesihatan, penyakit yang dihidapi dan menjalani gaya hidup lebih sihat berbanding sebelum ini.

“Situasi ini sememangnya penting terutama selepas kajian mendapati kaum Orang Asli menghadapi masalah kegemukan melampau dan kolesterol lebih tinggi berbanding kaum lain di negara ini,” katanya.

Program berkenaan membuka peluang kepada Nadi untuk mengumpul data penting mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh kaum itu kerana ia belum pernah dilakukan di negara ini.

Sepanjang program berlangsung, Nadi menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma selain mengedarkan helaian pendidikan kesihatan, sesi kaunseling dan pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 10:13 AM