FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Paris: Individu yang mengambil ubat diabetes murah selepas diuji positif untuk Covid-19 mempunyai risiko 40 peratus lebih rendah untuk mendapat gejala 'Long Covid' berpanjangan, kata kajian yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Penemuan itu dipuji sebagai penanda aras berpotensi dalam memerangi keadaan masih kurang difahami, yang dianggarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjejaskan satu daripada 10 orang yang menghidap Covid-19.

Kajian itu berkata, ia adalah percubaan fasa 3 terkawal rawak dan 'plasebo' yang pertama juga dianggap sebagai standard emas dalam penyelidikan untuk menunjukkan bahawa mengambil ubat itu boleh mencegah 'Long Covid'.

Ia menguji ubat yang dipanggil metformin, yang pada asalnya dibangunkan daripada bunga ungu Perancis, dan sudah menjadi ubat yang paling biasa digunakan untuk merawat diabetes jenis 2 di seluruh dunia selama beberapa dekad.

Ini bermakna ubat itu diketahui selamat, serta murah dan tersedia secara meluas.

Kajian itu meliputi 1,126 orang yang berlebihan berat badan atau obesiti di AS, separuh daripadanya mengambil metformin dan separuh lagi plasebo pada hari-hari selepas ujian positif Covid.

Selepas 10 bulan, 35 daripada peserta yang mengambil metformin didiagnosis dengan Long Covid, berbanding 58 untuk kumpulan plasebo, menunjukkan pengurangan risiko sebanyak 40 peratus.

Percubaan itu dijalankan antara Disember 2020 dan Januari 2022, bermakna ia termasuk varian Omicron, yang dicadangkan oleh penyelidikan menyebabkan Long Covid pada kadar lebih rendah daripada strain sebelumnya.

Pasukan di sebalik percubaan Covid-Out sebelum ini menunjukkan bahawa metformin mengurangkan risiko pesakit koronavirus dirawat di jabatan kecemasan, kemasukan ke hospital dan kematian sebanyak lebih 40 peratus.

Carolyn Bramante, seorang penyelidik di Universiti Minnesota dan pengarang utama kajian baharu itu, memberitahu AFP: 'data kami menunjukkan bahawa metformin mengurangkan jumlah virus SARS-CoV-2' pada pesakit.

Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Lancet Infectious Diseases.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 1:23 PM