Wanita Afghanistan berarak di bandar Kabul menuntut hak wanita dan pendidikan. FOTO AFP
Wanita Afghanistan berarak di bandar Kabul menuntut hak wanita dan pendidikan. FOTO AFP
AFP

Kabul: Pihak berkuasa Taliban menyembur lada kepada sekumpulan penunjuk perasaan wanita di ibu negara Afghanistan yang menuntut hak bekerja dan pendidikan.

Kira-kira 20 wanita berhimpun di hadapan Universiti Kabul, melaungkan 'hak sama rata dan keadilan' serta membawa kain rentang yang tertera 'hak wanita, hak manusia', lapor koresponden AFP.

Tunjuk perasaan itu kemudiannya disuraikan anggota Taliban yang tiba di lokasi dengan beberapa kenderaan.

"Ketika kami menghampiri Universiti Kabul, tiga kenderaan Taliban tiba dan seorang anggota menyemburkan lada ke arah kami.

"Mata kanan saya rasa seperti terbakar. Saya katakan padanya 'kamu memalukan', dan dia kemudiannya mengacukan senjatanya ke arah saya," kata seorang wanita yang enggan memberikan namanya atas faktor keselamatan.

Katanya, seorang daripada penunjuk perasaan terpaksa dibawa ke hospital selepas disembur lada kerana ia menyebabkan reaksi alergi pada mata dan mukanya.

Koresponden AFP juga menyaksikan seorang anggota Taliban merampas telefon bimbit milik seorang lelaki yang merakam demonstrasi berkenaan.

Pihak berkuasa Taliban sehingga kini masih menyekat kakitangan awam wanita daripada kembali semula ke pejabat dan banyak sekolah menengah masih belum dibuka untuk pelajar perempuan selain universiti awam masih ditutup.

Perjalanan jarak jauh untuk wanita tanpa ditemani anggota keluarga lelaki juga dilarang.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan garis panduan menghalang saluran televisyen menyiarkan rancangan yang dibintangi pelakon wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 7:56 PM