Seorang budak lelaki berdiri berhampiran anggota Taliban di depan penjara Pul-e-Charkhi di Kabul. - FOTO AFP
Seorang budak lelaki berdiri berhampiran anggota Taliban di depan penjara Pul-e-Charkhi di Kabul. - FOTO AFP
AFP

Kabul: Pelajar perempuan di sekolah menengah dikecualikan daripada kembali ke sekolah, selepas pemerintah Taliban mengarahkan hanya pelajar dan guru lelaki boleh memulakan sesi persekolahan.

Taliban sebelum ini berjanji untuk melaksanakan pemerintahan lebih 'lembut' berbanding pada 1990-an, di mana ketika itu perempuan tidak dibenarkan bersekolah dan bekerja.

Namun, langkah yang diumumkan oleh kementerian pendidikan semalam menjadi peraturan terbaru menyekat hak wanita.

"Semua guru dan pelajar lelaki perlu hadir ke institusi pendidikan," kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu juga tidak menyebut mengenai kehadiran pelajar perempuan atau guru wanita.

Sekolah menengah yang biasanya disertai pelajar berusia 13 hingga 18 tahun, diasingkan mengikut jantina di Afghanistan.

Ketika pandemik Covid-19, mereka berdepan penutupan berulang kali dan ditutup sepenuhnya sejak Taliban mula mengambil alih tampuk pemerintahan.

Sejak Taliban digulingkan pada 2001, perkembangan memberangsangkan dicatat khususnya berkaitan pendidikan kanak-kanak perempuan dengan jumlah sekolah meningkat tiga kali ganda dan tahap celik huruf wanita meningkat sehingga 30 peratus.

Namun, perubahan itu hanya terhad di kawasan bandar.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia bimbangkan masa depan persekolahan kanak-kanak perempuan di negara berkenaan.

"Adalah sangat penting untuk memastikan budak perempuan boleh menyambung semula pendidikan mereka. Untuk itu, kita perlukan guru wanita menyambung semula sesi pembelajaran," kata agensi berkaitan kanak-kanak PBB, Unicef.

Sekolah rendah sudah mula dibuka, dengan murid lelaki dan perempuan menghadiri kelas berasingan dan sebahagian guru wanita kembali mengajar.

Rejim baru ini membenarkan wanita menghadiri universiti swasta walaupun dengan beberapa peraturan ketat meliputi cara berpakaian dan pergerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 8:11 PM