Sebahagian pekerja pembersihan mengadakan piket aman menuntut bayaran gaji. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Sebahagian pekerja pembersihan mengadakan piket aman menuntut bayaran gaji. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Seramai 43 pekerja pembersihan di beberapa sekolah di daerah ini mendakwa gaji mereka tertunggak sejak dua bulan lalu susulan majikan melaksanakan gaji minimum RM1,500.

Pekerja, Siti Nur Hasanah Che Wil, 40, berkata kali terakhir dia dibayar gaji pada Julai lalu tetapi dia tetap bekerja seperti biasa dengan harapan tunggakan gaji dibayar dalam masa terdekat.

"Disebabkan kelewatan gaji, saya menanggung tunggakan bayaran sewa rumah sejak dua bulan lalu dan terpaksa meminta belas ihsan daripada pemilik rumah kerana kami sekeluarga tidak mempunyai tempat untuk berteduh.

"Saya seorang ibu tunggal dan terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyara keluarga termasuk dua anak yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui selepas mengadakan piket aman di sini, hari ini.

Seorang lagi pekerja, Mohamad Fikri Mat Noor, 43, berkata, dia terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada adik beradiknya selain berhutang dengan kedai runcit berhampiran untuk membeli barang keperluan asas.

"Saya amat berharap gaji kami dibayar tidak lama lagi kerana mempunyai komitmen selain perlu membayar pelbagai bil utiliti, belanja dapur serta keperluan lain dan sebolehnya tidak mahu berhutang keliling pinggang disebabkan tunggakan membayar gaji.

"Mujur ada guru di sekolah menghulurkan sumbangan untuk perbelanjaan dua anak saya yang masih belajar kerana memahami kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu majikan syarikat pembersihan berkenaan ketika dihubungi mengakui kelewatan bayaran gaji pekerjanya disebabkan berdepan masalah kewangan.

"Pihak kami kini sedang berusaha untuk membayar tunggakan gaji pekerja kerana memahami keadaan yang dihadapi mereka.

"Sebelum ini, tidak pernah berlaku kelewatan pembayaran gaji sehinggalah pelaksanaan gaji minimum RM1,500. Kami sedang berusaha bagi memastikan tunggakan ini dapat diselesaikan dengan kadar segera selain gaji dapat dibayar seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 2:40 PM